Dulu Lesung, Kini Latte: Cerita Kopi, Matcha & Aku

5–8 minutes

Kafien peneman penulis berkarya?

Hai guys! Kali ini aku rasa nak menulis tentang matcha dan kopi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur.

Seingat aku, zaman aku membesar kopi hanya dikaitkan dengan orang-orang tua. Jarang sekali orang-orang muda suka meneguk minuman berkafien itu. Terutama gadis muda!

Malah sesiapa yang suka minum kopi ini, pasti diejek orang tua atau tidak menampakkan class yang sering dikaitkan orang-orang muda zaman sekarang.

Atau mungkin juga pada waktu itu, kopi hanya dikenali dengan nama popularnya kopi o, kopi ais atau kopi panas sahaja. Di mana minuman-minuman ini, hanya dibancuh dengan susu krim pekat manis atau gula sahaja.

Warnanya pula hitam legam, atau sedikit coklat jika ditambah susu krimer pekat manis itu. Rasanya tebal, sehingga selepas menikmatinya akan meninggalkan warna hitam di atas bibir. Bertaring seperti misai jadinya. Hahaha.

Kadang-kadang minuman ‘orang tua’ ini dimasukkan ke dalam botol anak-anak yang masih menyusu. Itu biasa pada zaman itu. Sehingga bila nak membuang air besar, meraung-raunglah sebabnya sembelit. Haih.

Kalau pergi bersembang ke rumah-rumah orang pula, minuman inilah yang wajib ada disamping teah o panas. Masa itu manalah ada air ais lagi, kebanyakan penduduk masih tidak mampu memiliki peti ais. Aku masih ingat pernah beli ais bongkah di kedai Pak Lang yang disalut dengan habuk kayu.

Tapi momen ini berlaku sekejap sahaja. Tapi aku sempat merasa. Aku bukan delulu ya, tapi benar-benar aku alami. Okaylah berbalik kepada kopi.

Kopi Dulu: Hitam, Pekat dan Satu Lesung untuk Semua

Malah serbuk kopi ini juga boleh diproses sendiri. Aku masih ingat, semasa berada di bangku sekolah rendah emak dan jiran-jiran sebelah rumah aku pernah bergotong royong menghasilkan serbuk kopi. Biji kopi pula dipetik sahaja dari pokok yang tumbuh melata di dalam belukar di hadapan rumah.

Aku tak pasti, mungkin pada waktu itu kerajaan melaksanakan program penanam kopi sebagai sumber pendapatan rakyat di luar bandar. Tapi mengikut maklumat yang aku dapat dari enjin carian, penanaman kopi di Malaysia telah diperkenalkan oleh British sejak abad ke-20.

Namun penanaman kopi di Kedah dimulakan pada tahun 1990an namun terbengkalai atau tidak menjadi disebabkan pasaran harga kopi tidak menentu.

Jadi, no wonder lah di belukar hadapan rumah kami banyak pokok-pokok kopi yang tumbuh, namun tidak begitu luas. Dalam belukar kopi itulah aku main pondok-pondok, main aci menyorok, main ligan-ligan, dan tahan burung.

Dalam dalam hutan kopi itulah, aku ceding (jerat) aku mengena burung merpati. Hahaha. How wonderful moment!

Malah, di dalam rumah padi – disebabkan sebelum kelahiran aku di dunia, keluarga aku mengerjakan sawah padi dan memerlukan satu ruang untuk penyimpanan. Tapi projek tanaman padi itu tidak diteruskan kerana masalah saliran air yang tidak efisien – inilah saja yang diberitahu ibu bapa aku.

Berbalik kepada aktiviti bergotong royong ‘menumbuk kopi’ itu aku masih ingat lagi.

Biji kopi segar berwarna merah sahaja dikutip kerana sudah matang, aku pun turut serta mengutip kopi-kopi ini. Kopi masak ini memang sesuai untuk dijadikan serbuk kopi, ia dikeringkan dahulu di bawah cahaya matahari selama beberapa hari.

Sehingga terkupas kulit-kulitnya sendiri, dan ditampi (hulling). Kemudian barulah digoreng biji kopi tanpa minyak atau disangai sehingga garing.

Seingat aku kopi buatan kami ketika ini, ditambah gula, mentega dan dimasak sehingga menjadi keras sebelum ditumbuk halus.

Aktivti menumbuk kopi ini menggunakan lesung kaki – lesung itu diletakkan di luar rumah dan alunya panjang sekali dan boleh menggunakan kaki untuk menekan tuas sehingga hancur.

Aroma kopi buatan tradisional itu sangat wangi dan enak sekali dinikmati. Aku masih ingat, biji kopi yang dimasak dengan gula dan mentega itu, aku pernah mencicipnya – rasanya seperti gula-gula berperisa kopi.

Ahhh…rindu dengan momen itu.

Hari ini, kopi terdiri daripada pelbagai jenis biji kopi yang boleh dipilih sebelum dijadikan minuman sama ‘o’ ataupun ditambah dengan pelbagai perisan tambahan lain bukan sekadar krimer pekat manis atau gula sahaja.

Minuman yang semakin dinaikkan martabatnya di negara ini, semakin mahal dan menjadi minuman bertenaga bagi muda-mudi termasuk seorang pengkarya.

Kopi Pembakar Semangat, Matcha Penenang Jiwa

Bagi aku, kopi boleh membantu mengembalikan mood dan stim untuk berimaginasi.

Begitupun, selepas matcha mula popular aku tidak melepaskan peluang menikmatinya.

Ramai yang bukan peminat kopi menyatakan rasa matcha lebih menyerupai rumput. Anak aku yang paling kecil berusia satu tahun tiga bulan pun buat muka pelik bila diberi rasa. Kah!

Bagi aku rasa – rumput matcha itu adalah unik dan memberi sensasi yang tersendiri kepada mood dan emosi.

Apa lagi sebab orang mahu minum matcha selain sensasi rasanya yang unik?

Aku mula sedar, selain rasa sensasi matcha sebenarnya kandungan kafien dalamnya sebenarnya boleh boostkan mood yang sesuai sebagai seorang penulis.

Situasinya apabila aku stuck untuk menulis, dan naluri aku mahukan matcha. Jadi aku ambil kunci kereta dan memandu ke Zuss. Aku pesan matcha latte.

Aku pulang ke pejabat, aku hirup. Aku malapkan lampu. Nah!

Power weyh!

Kau tahu macam ‘stim’ untuk menulis, lebih tenang. Ok satu kisah fasal ‘stim’ berkarya ni aku nak cerita jugalah. Hahaha.

Stim Berkarya – Kayu Pun Boleh Jadi Rusa

Kejadian ini berlaku beberapa tahun lalu, semasa aku masih bekerja sebagai wartawan jalanan. Aku menerima satu mesej dari seorang pak long – muda sikitlah ajak untuk berjumpa.

Tujuannya untuk menunjukkan sesuatu yang mistik. Disebabkan aku fikir cerita mistik ini orang suka baca, aku pun pergi berjumpa di gerainya dekat satu medan selera di pasar pagi.

Sampai sahaja di sana, aku disambut mesra dan ramah gitu. Dia pun gorenglah kuih tiau goreng dan bagi aku secawan teh ais. Bagus jugalah dia pelawa aku, sebab masa itu perut aku pun tengah berkeroncong.

Selepas habis makan semua, dia ajak aku ke rumahnya. Sebab benda mistik itu ada di rumahnya. Aku pun ikutlah dia dari belakang.

Sampai di rumah dia pelawa masuk, anak-anak dia ada tengah buat kerja sekolah kut.

Aku duduk di kerusi sementara dia pergi mengambil barang mistik yang diceritakan beria pada aku di kedai tadi.

Bila ternampak sahaja barang mistik itu, aku tak tahu nak respon apa tetapi sebab aku ini ada tahap profesional yang tinggi (konon) aku layan sahaja lah dulu.

“Inilah benda mistik yang saya beritahu. Tengok kayu ni, saya jumpa di sungai. Bila tengok lama-lama nampak macam rusa, sesekali…bla…bla…,” begitulah penerangnya pada aku sambil dia terus tunjuk pada aku.

Sekejap jauh sekejap dekat, sekejap dia pusing ke kanan, sekejap dia pusing ke kiri.

Aku?

Aku pun punyalah tengok juga kayu tu, sambil berimaginasi sama seperti dia.

Ahhhh…bala…hahahaha

Aku sebenarnya tak tahu nak respon macam mana, sebab dia terlalu beria.

Lepas itu, dia minta aku tangkap gambar. Aku pun macam lembu dicucuk hidung terus keluarkan DSLR aku, lagak seperti photographer professional saja.

Bermacam-macam style aku ambil gambar untuk menunjukkan kayu mistik yang dia jumpa di sungai itu betul-betul mistik.Kakakah.

Ok habis.

Berbalik kepada keperluan ‘rasa sensasi’ untuk berkarya ini, aku rasa pengkarya termasuk penulis perlukan rasa yang tersendiri.

Macam aku cakap sebelum ini, Taylor Swift sengaja bercinta dan putus cinta untuk dapatkan ‘mood dan feel’ untuk menulis lagu dia dan ya boom, meletup.

Jadi, sepanjang aku melalui hidup aku ‘seperti ini’, aku tak nafikan rasa itu diperlukan untuk berkarya.

Kopi dan matcha bukan sekadar minuman—ia adalah memori, emosi, dan inspirasi.

Dari serbuk kopi yang ditumbuk sendiri di belakang rumah hingga ke matcha latte yang dibeli di kafe moden, kedua-duanya menjadi saksi perjalanan seorang manusia yang tidak pernah berhenti menulis, mencicip hidup, dan menyulam kenangan.

Dalam setiap hirupan, ada rindu, ada ilham, ada semangat yang tak mampu dijelaskan dengan kata-kata.

Kopi membakar semangatku untuk terus berlari, matcha menenangkan jiwaku untuk terus bertahan. Dan dalam dua rasa itu, aku menemui diriku sebagai penulis.

Leave a comment