Percutian Bajet ke Cameron Highlands dan Ipoh

7–10 minutes
Cameron highlands dan ipoh - memory lane

Bercuti ikut bajet, dan keselesaan sendiri

Cuti sekolah menjadi satu hari yang dinantikan anak-anak, bukan sahaja tidak kena bising bangun pagi bersiap untuk ke sekolah tetap menantikan sesuatu dari ibu dan ayah.

Kebiasaannya cuti sekolah akan menjadi hari yang menggembirakan anak-anak apabila mereka dibawa berjalan dan tidur di hotel.

Anak saya juga begitu, mesti tertunggu-tunggu.Jadi pada cuti sekolah kali ini, saya sekeluarga telah pergi berjalan-berjalan ke Cameron Highlands dan Ipoh.

Seperti biasa jika ke Cameron Highlands sudah tentulah ada destinasi wajib singgah iaitu Kea Farm.

Namun, disebabkan banyak pilihan gerai membeli belah telah dibina seperti Agro Mall, masuk pun percuma, saya sekeluarga telah mengambil keputusan untuk jalan-jalan di situ.

Seperti gerai-gerai jualan di tempat lain, tetapi di sini tidak begitu sesak namun ia satu pilihan untuk anda membeli belah dengan nyaman dan tenang-tenang.

Malah, paling mengejutkan harga buah strawberry memang murah – banyak berbanding di Kea Farm.

Bayangkan di Kea Farm harga strawberry 1 kilogram mencecah RM50 (buah saiz kecil) tetapi di Agro Mall hanya RM34 sekilogram. Buah pula memang saiznya besar-besar.

strawberry

Puas hati juga makan. Jika pandai sembang, peniaga tidak kedekut juga mahu memberi diskaun. Kali ini saya lebih tertarik dengan serbuk asam berbanding coklat untuk dicecah.

Ini semua kerana terpengaruh dengan video pempengaruh yang buat ‘review’ makan buah-buahan di Cameron Hihglands gaya baru guna serbuk asam.

Serius sedap, jenama serbuk asam itu Senok Perut, memang semua brand itu sajalah.

Tapi janganlah minta diskaun lebih-lebih, kena marah pula nanti. Hahaha.

Namun pada trip ke Cameron Highlands kali ini, saya tidak pergi ke mana-mana hanya menunaikan hajat anak ke-2 saya untuk membeli strawberry untuk membuat ‘tanghulu’.

Selepas tidur semalam di Apartment Palas Horizon berharga RM170 tambah caj RM40, berpandangan bukit yang ditarah kami membeli belah di Agro Mall sahaja selepas membuat perbandingan harga.

Oh ya, saya juga terkejut baru tahun lepas (2024) menjejakkan kali ke Cameron Highlands namun trip kali ini saya menyaksikan banyak tempat-tempat yang dulu gah seperti ditinggalkan dan tidak beroperasi.

Termasuk satu destinasi yang kami selalu singgah untuk makan tengahari dan memetik buah. Alaaa saya tak ingat pula apakah nama tempat tersebut – jika tidak silap mereka ada keluarkan produk sambal strawberry dan terkenal dengan nasi lemak strawberry.

Saya fikir ia berpunca daripada tindakan kerajaan yang membanteras pembukaan tanah tanpa permit dan sah di Cameron Hihglands bagi mencegah bencana alam yang kerap berlaku.

Tetapi bagi premis-premis perniagaan ini mungkin disebabkan faktor lain, seperti kekurangan pelancong dan lain-lain.

Namun, seperti yang dikatakan harga makanan di Cameron Highlands semakin mahal – semua nasi goreng RM9-RM10 bagi gerai-gerai biasa termasuk medan selera.

Mujur kali ini, saya bersiap sedia awal dengan membuat sandwich (wanpaku – saya kongsi resepi nanti) sebagai bekalan serta menggoreng kueh tiau untuk dimakan dalam perjalanan.

Tetapi sudahnya kueh tiau dijadikan makan malam sahaja. Al-maklumlah kami rancang di Cameron Highlands bukan untuk food hunting hanya berjalan ambil angin sejuk mencari strawberry dan buah-buah rare.

Selepas selesai membeli belah, kami terus bergerak untuk ke destinasi seterusnya.

Kali ini, kami hanya melawat Ladang Boh Tea di Sungai Palas.

Ipoh Mari Talak Sombong

Kami pergi ke Ipoh mencari makan tengah hari. Puas juga mencari tempat makan best di sini.

Jika tengok orang review semua best, cuma duit saja kadang-kadang tidak best.

Jadi percutian ini, mengikut bajet kami sendiri, kami memilih yang sesuai dengan bajet kami dan tekak kami.Hahaha.

Akhirnya berjumpa satu tempat Mee Kari Daud Mat Jasak, Ipoh. Katanya sangat terkenal kerana kuah karinya memang padu.

Kami memesan mi kari dan mi kicap.

Walaupun hidangan itu nampak kosong tidak seperti mi kari di Kedah terutamanya, namun kuahnya memang sedap dihirup.

Tidak terlalu pekat dan cair.

Mi kicapnya juga sedap, anak-anak suka menghirup kuah sehingga kering. Kecup kecap kecup kecap dihirupnya kuah mi kicap itu.

Taman Zahra, Gopeng

Kemudian kami ke Taman Zahra di Gopeng, sebenarnya kami ke sini dahulu sebelum ke Mee Kari Daud Mat Jasak, Ipoh.

Sebabnya apabila turun dari Cameron Highlands melalui Simpang Pulai, lokasi Taman Zahra lebih dekat.

Taman Zahra ini berkonsepkan petting zoo, hobbittoon, sukan ekstrem dan aktiviti untuk anak-anak.

Tiket masuk adalah RM25 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun.

Bagi anda yang mahu mencuba sukan flying fox, harga tiketnya adalah RM25 seorang.

Bagi yang ingin memberi makan kepada binatang pula hanya RM1 sahaja harganya untuk harga makanan binatang itu.

Di sini terdapat beberapa jenis kambing dari Afrika, saya terlupa pula namanya. Mesra betul kambing di sini tidak seperti di CH suka sangat tanduk orang.

Kemudian di Hobbittoon, kita boleh bermesra dengan jenis burung – ayam, merak, ada arnab, dan beberapa jenis burung lain.

Anak-anak teruja sangat, dan saya buat-buat terujalah.Hahaha sebab ketika kami tiba, baru jam1.30 petang. Panasss.

Mujur juga di kawasan itu jenis berangin, selesa lah sikit. Banyak tempat-tempat yang boleh ber ootd atau bergambar.

Ada juga kolam ikan, yang mana ikannya asyik ternganga saja seperti tidak cukup makan.

Apa pun kolam ikan ini boleh dijadikan tempat melepaskan lelah selepas penat bergambar dan mendaki tangga-tangga.

Di kawasan itu juga, ada satu bas mini dan kawasan berhawa dingin untuk anak-anak mewarna.

Bagus juga ada kawasan berhawa dingin ini, boleh juga duduk melepaskan lelah sementara anak-anak menghabiskan aktiviti mewarna mereka.

Ramai juga bapa-bapa duduk tersandar mengambil hawa sejuk dari pendingin udara bersuhu 20′.

Oh ya, di sini juga ada Litte Santorini seperti di Greek.

Tempat makan? Ya ada satu restauran yang menghidangkan pelbagai jenis nasi goreng dan minuman. Harga?

Saya tidak pasti.

Tasik Cermin tasik buatan manusia

Selepas menikmati mi kari, kami meneruskan perjalan ke Tasik Cermin.

Pada mulanya mahu melihat-lihat sahaja, disebabkan anak-anak bersungguh mahu naik bot – kami putuskan untuk bersiar-siar mengelilingi tasik buatan manusia itu.

Harga tiket bagi dewasa adalah RM25 seorang, manakala bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah RM18 seorang.

Tetapi jika anak-anak anda berketinggian di bawah 90cm tidak dikenakan caj.

Tidak tahulah mahu ukur ketinggian anak-anak di mana, sebabnya tiada pun tempat sukat tinggi.

Tekniknya, yakin sajalah kalau anak anda di bawah 90cm, beritahu saja juru jual tiket itu. Sediakan Mykad dan Mykid.

Kalau anda mahu melihat-lihat sahaja boleh masuk ke dalam gua melihat dinding gua, tetapi mesti tidak puas jika tidak naik bot.

Selepas memakai jaket keselamatan, kami diminta ke jeti untuk menaiki bot. Kali ini, kami menaiki bot jenis inflatable boat.

Semasa berada di jeti, jantung saya sudah berdebar al-maklumlah jenis overthinking.

Anak nombor dua saya lagilah mulut tiada insurans. “Mommy nanti boleh tengok buaya ke?

Menjeling keluarga yang naik satu bot dengan kami. Puas saya shhh anak saya itu supaya tidak bercakap bukan-bukan ketika di dalam bot.

Aktiviti mengelilingi tasik yang dikelilingi batu kapur ini mengambil masa 20 minit.

Air tasiknya berwarna hijau. Batu-batu kapur yang berceloreng hitam, oren dan putih itu mempunyai kisahnya tersendiri.

Puas juga, pemandu bot dari Nepal itu menerangkan dan menyampaikan info-info tentang apa yang ada di tasik itu.

“Dia lebih tahu sejarah tasik dari kita”

Gerakan bot yang perlahan menjadikan semua yang beada di atas bot tenang sahaja, anak-anak pun tidak menangis takut.

Ahhh, leganya rasa. Terima kasih Allah. Malah mereka suka pula mahu meletakkan tangan di dalam air. Bertambah teruja pula.

Saya juga cuba berbuat demikian selepas pemandu bot merangkap pemandu pelancong itu menerangkan sedemikian.

Selepas itu barulah diikuti anak-anak saya. Saya jugalah pencetus, dan paling pencetus Nepal itulah.

Tetapi apa salahnya, memang boleh cumanya fikiran overthinking risau anak-anak itu sajalah yang sering membuatkan saya tidak berkenan anak teruja mahu mencuba.

Saya memang sentiasa dalam mod berjaga-jaga dan seriau, sentiasa memberi pesanan supaya berhati-hati.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, mata dijamu dengan pemandangan batu-batu kapur dan hutannya berpohon hijau memang membuatkan kita asyik dan tenggelam dalam dakapan alam.

Jika berpeluang pergilah menikmati keindahan alam ini, tidak rugi. Hilang segala masalah.

Destinasi saya pada kemudian hari adalah naik bot di Tasik Cermin 2. Di sini ada Tasik Cermin 1 dan Tasik Cermin 2.

Bagi yang nombor dua ini, pelancong akan di bawa memasuki gua. Maksudnya masuk ke dalam mulut gua, batu gua atau staglamite di atas kepala.

Nantilah…

Memory Lane, Ipoh

Disebabkan jalan raya agak jem kerana dilaporkan waze ada kemalangan, kami putuskan untuk menghabiskan masa di Memory Lane, Ipoh.

Boleh parkir kereta di mana-mana lorong sahaja, tidak risau kena kompaun kerana hari cuti.

Kami melalui lorong yang dipenuhi peniaga-peniaga kraftangan. Memang nampak ala vintage sangat. Nama diberi Concubine Lane.

Ada sejarahnya – dipanggil juga lorong isteri kedua. Pelancong boleh baca di batu penerangan yang diletakkan di hadapan lorong tersebut.

Saya mencuba air goyang ke? Barbican Delima. Perghhh terangkat.

Di lorong ini terdapat peniaga kraftangan seperti gelang batu, cincin, rantai, beg-beg anyaman rotan, minyak wangi, cermin mata, dan makanan ringan.

Kemudian, selepas menyeberangi jalan, kita akan melalui satu lagi lorong. Lorong ini menempatkan kerusi-kerusi yang memberi vibe seolah berada di hutan sedang berkhemah.

Dengan pokok-pokok berdaun rimbun tumbuh di lorong tersebut menambahkan suasana tersebut ‘gelap’ seperti berada di hutan apabila hari semakin senja.

Kemudian beberapa meter ke hadapan kita akan bertemu satu stor buku Book Access.

Anak sulong saya teruja betul untuk masuk ke kedai buku itu. Tetapi tidak ada buku yang dia berkenan mungkin mencari komik berbahasa Melayu.

Saya membeli sebuah buku genre sejarah harga RM39.90, berkulit tebal berjudul (nanti saya kemaskini).

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke lorong seterusnya yang banyak contengan di dinding.

Pada hujung lorong tersebut, kita boleh nampak Masjid Panglima Kinta dan jam besar dengan tangga-tangga besarnya, menjadikan tempat kegemaran pasangan pengantin merakamkan gambar raja sehari dalam busana tradisional mereka.

Perjalanan kami sampai di sini sahaja pada kali ini. Percutian bajet dan santai-santai untuk memberi anak-anak pengalaman baharu.

Tips memastikan perjalanan berjalan lancar

  1. Bersiap sedia mental dan fizikal termasuk beritahu kepada anak-anak supaya bersedia – beritahu lebih awal
  2. Pastikan perbelanjaan mencukupi – ikut bajet sendiri
  3. Boleh sediakan makanan dari rumah sebagai bekalan dalam perjalanan – jimat masa, jimat belanja
  4. Pakaian yang sesuai – kasut, baju, seluar, toiletaries dll
  5. Bangun awal – bersiap, makan untuk tenaga terutama anak-anak
  6. Niat jamak musafir

Untuk trip akan datang, mungkin akan jelajah semula ke negeri-negeri Pantai Timur 6 hari 5 malam, mungkin.

Yang penting percutian bajet, ikut kemampuan sendiri saja!

Leave a comment