Gaya bahasa yang bersesuaian mampu menarik minat pembaca

Jika anda hendak tahu, menulis ini banyak gayanya. Paling susah bagi saya adalah mencari gaya penulisan sendiri, tetapi sesuai dengan pembaca.
Bertahun saya dalam bidang kewartawanan bermain dengan fakta, dan ayat yang straight to the point tak ada nak bermetafora atau berbasa basi, menjadikan penulisan saya agak kaku.
Apabila saya mahu bermain dengan perkataan, rasa tertekan, rasa macam “eh ini tak boleh ni macam ni,”.
Bagaimana gaya penulisan seorang wartawan telah membentuk dan mempengaruhi keputusan untuk saya menulis – terutama untuk siaran yang profesional atau untuk branding penulis upahan.
Saya sendiri sedar penulisan saya kadang-kadang begitu kejung, tiada emosi, hanya fakta dan mahukan maklumat itu mudah dihadam pembaca.
Pembaca tidak perlu menyelami dan hanya menerima lalu mengangguk faham atau memberi ekspresi yang nyata dengan keadaan tersebut.
Itulah penulisan berita yang memenuhi 5W1H. Namun berbeza bagi penulisan rencana. Sedap dibaca dan menyelaminya lama-lama.
Akan tetapi sebenarnya, gaya penulisan berita ini juga disesuaikan dengan jenis penulisan sama ada hiburan, politik,jenayah, human interest dan sebagainya.
Semua jenis berita ini mempunyai gaya tertentu, namun tidak meleret-leret atau lebih bergaya penulisan formal untuk memastikan mesej disampaikan dengan berkesan tanpa keraguan.
Tidak seperti menulis karya yang lebih kreatif seperti puisi, sajak, atau buku fiksyen ia memerlukan penulis lebih fleksibel sebagai hiburan dan info.
Namun selepas saya mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai penulis, tapi bukan lagi memegang title wartawan saya mula ‘melembutkan’ (fleksibel) gaya penulisan.
Memberi rencah dan rasa yang lebih dramatik dan kreatif jika diperlukan terutama dalam penulisan-penulisan kreatif seperti menulis manuskrip (ikut genre), copywriting (ikut target/kempen) dan sebagainya.
Malah, orang tertarik dan ingin membaca sehingga habis apabila gaya penulis seorang penulis itu kena dengan gaya yang mereka mahukan.
Tentu sahaja anda sendiri pernah mengalami perasaan itu, dan membuat perbandingan.
Jika buku itu sedap di baca – gaya penulisan yang anda mahukan, pasti buku itu habis dibaca dalam masa yang singkat.
Jika tidak kena selera, lambat juga buku itu habis dibaca atau tidak dibuka-buka lagi.
Bagi saya sendiri, saya juga suka membaca buku yang mempunyai gaya penulisan santai, tetapi masih mempunyai logik, fakta, dan dramatik.
Sungguhpun, dalam genre seperti agak serius seperti buku novel sejarah bukan fiksyen, jika penulis menggunakan gaya penulisan yang ringkas (saya rasa penuh storytelling) menjadikan pembaca asyik membaca dan tenggelam bersama sejarah tersebut.
Seperti kita menonton wayang dan mendengar cerita atau kita sedang bercerita kepada rakan-rakan. Gaya bahasa yang digunakan tidak begitu rumit .
Gaya bahasa ini juga sebenarnya ditentukan oleh jenis penulisan yang kita sedang hasilkan :
- Profesional & Berautoriti – Sesuai untuk topik korporat atau teknikal.
- Santai & Mesra – Ideal untuk kandungan media sosial dan blog gaya hidup.
- Beremosi & Dramatik – Berkesan untuk storytelling atau pemasaran berimpak tinggi.

Bagaimana mencipta gaya penulisan untuk bangunkan identiti penulis upahan?
- Kuasai storytelling
- Fahami target audien
- Niche penulisan
- Sudut pandangan
- Teknik penulisan efektif
- Cipta trademark
1. Kuasai storytelling
Kita boleh gunakan anekdot, contoh kehidupan sebenar, atau analogi untuk menarik minat pembaca.
Selain itu, kita boleh strukturkan cerita dengan permulaan yang menarik, konflik, dan penyelesaian yang memuaskan dengan tanda tanya, pengakhiran yang menggembirakan atau menyedihkan.
2. Fahami target audien
Kita menulis adalah untuk menyampaikan sesuatu kepada pembaca sama ada fakta, atau memberi hiburan.
Jika target untuk memberi hiburan, jangan lupa selit juga dengan fakta namun masih menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami selain mewarnainya dengan maklumat-maklumat terkini.
Jika kita menulis fiksyen untuk remaja, pastinya penulisan lebih ringkas, mudah dan mudah difahami, namun tidak salah jika kita suntik sedikit naratif-naratif baru supaya pembaca mendapat sesuatu yang baharu.
3. Niche penulisan
Sungguhpun kita perlu sesuaikan gaya mengikut niche penulisan, namun gaya tersendiri penulis dapat memberi kepuasan kepada pembaca.
Malah pembaca juga sudah tahu itu adalah penulisan dari penulis ini, atau penulis itu.
4. Sudut pandangan
Jangan takut untuk masukkan sudut pandangan sendiri. Hal ini akan menjadikan penulisan itu unik.
Penulisan yang mempunyai perspektif sendiri akan memberi kesan berlainan kepada pembaca, sama ada mengangguk setuju atau tidak berpuas hati .
Namun kedua-dua kesan itu sebenarnya boleh menjadi indikator menunjukkan tahap penerimaan dan penulisan kita.
5. Gunakan teknik penulisan efektif
Pernah dengar active voice dan passive voice?
Dalam penulisan, active voice lebih baik daripada passive voice.
Active Voice
Subjek + Kata Kerja + Objek
Fungsi : Mengutamakan pelaku tindakan, sehingga lebih langsung dan jelas.
Passive Voice
Objek + Kata Kerja Bantu + Kata Kerja + (oleh + Subjek)
Fungsi : Lebih fokus pada objek yang dikenai tindakan, sering digunakan untuk menekankan hasil atau proses daripada pelakunya. Ini juga berguna dalam konteks formal atau akademik di mana pelaku mungkin tidak penting atau tidak diketahui.
Selain itu, bagi memastikan penulisan kita itu menarik, gunakan variasi panjang ayat untuk ritma yang menarik.
Elakkan jargon jika menulis untuk audiens umum.
6. Cipta trademark
Trademark ini dapat membezakan gaya penulisan antara satu penulis dengan penulis lain.
Misalnya, jika seorang penulis menggunakan nama pena atau logo tertentu, mereka dapat mendaftarkan nama atau logo tersebut sebagai trademark untuk melindungi reputasi mereka.
Barulah karya kita dilindungi.
Lagi satu trademark bagi penulis ini, adalah apabila kita guna satu ‘tanda penulisan’ setiap kali berkarya contohnya masukkan metafora, pantun, punchline, dan sebagainya.
Justeru, menjadi penulis juga perlu membina gaya penulisan tersendiri supaya boleh dikenali dan diminati pembaca.
Bukan bertujuan untuk menjadi popular, tetapi sekiranya popular tentunya bermula dari karya ataupun personal branding kita yang dilakukan setiap masa.

Leave a comment