Resepi Mudah Oat Sebagai Milk Booster Untuk Ibu

2–3 minutes
resepi oat milk booster - cikmilahcm

Amalan pemakanan dan diet yang tepat ketika proses penyusuan anak mempengaruhi kualiti susu

Seorang ibu pastinya mahu memberi yang terbaik dan memenuhi keperluan bayi untuk memastikan mereka membesar dengan baik.

Bayi yang baru lahir sehingga berumur dua tahun, memerlukan susu ibu sebagai sumber khasiat dan tumbesaran mereka.

Terutama bayi yang baru lahir sehingga enam bulan akan bergantung sepenuhnya kepada susu khususnya susu ibu untuk membesar dan kekal sihat.

Oleh itu, ibu sentiasa mahu memastikan bekalan susu badan mereka sentiasa mencukupi.

Ada yang mengambil makanan tambahan dan menjaga diet pemakanan mereka.

Oat sumber milk booster buat ibu menyusukan anak

Oat adalah salah satu sumber bijirin yang mampu membekalkan tenaga seperti makan nasi.

Oat juga menjadi makanan ruji bagi negara-negara eropah dan barat yang menjadikannya roti, bubur dan dimakan begitu sahaja bersama makanan sampingan lain seperti buah-buahan.

Malah, oat dijadikan makanan berkhasiat kerana khasiat dalam makanan itu mampu mengurangkan kolestrol.

Resepi Oat untuk milk booster

Kini oat bukan lagi menjadi makanan yang tidak boleh diterima tekak, tetapi banyak resepi yang diubah suai sehingga menjadikannya semakin enak.

Dari bubur, biskut sehingga dicampur dalam pelbagai masakan bagi mewarnai rasa tawar oat tersebut.

Bagi saya, sebagai seorang ibu yang mempunyai bayi berusia 9 bulan menjadikan oat sebagai makanan untuk memeriahkan susu.

Sebelum ini saya tidaklah mengambil tahu, makanan yang boleh dijadikan milk booster walaupun pernah terbaca di media sosial apabila dikongsi warga net.

Namun, apabila saya memasukkan oat dalam diet harian, hasilnya memang menarik dan ‘menjadi’.

Saya gemar mengambil oat segera yang telah dicampur dengan pelbagai bijian lain seperti buah kering seperti kuaci, chia seed, cran berry dan sebagainya.

Malah saya meletakkan topping dengan buah-buah segar seperti pisang, epal serta mencampurkan dengan yougurt dan susu.

Wah! semua bahan yang dimakan bersama oat sangat berkhasiat dan membuatkan bayi semakin sihat.

Campuran bahan-bahan bijian di dalam kandungan oatnya membuatkan kita menjadi semakin kenyang malah tahan lebih lama.

Namun, saya juga mahu berkongsi resepi bubur oat untuk meriahkan susu ibu :

Bahan-bahan

  • 1 cawan oat segera (boleh guna Quaker Oat) klik sini untuk beli
  • 2 biji telur
  • 2 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1/2 inci halia (dihiris mayang)
  • 4 ulas cendawan (boleh pakai cendawan butang, shitake atau apa-apa jer)
  • 4 sudu kicap cair
  • 1 – 2 cawan air
  • 2 sudu kecil minyak bijan (jika tiada tidak mengapa)
  • 1 sudu besar emping cili (jika tak ada boleh jer guna cili padi yang dipotong/cili kering)
  • 1 kiub ayam
  • daun bawang (untuk hiasan)

Cara penyediaannya :

  • Tumis bawang putih, dan halia dalam sedikit minyak
  • Apabila telah garing masukkan hirisan cendawan, tumis sehingga layur
  • Masukkan kicap cair, kacau rata
  • Masukkan air, tunggu sehingga mendidih
  • Masukkan oat, perasakan dengan kiub ayam, dan minyak bijan
  • Biarkan direneh sekejap, jika anda suka bubur berkuah lebihkan air dan sesuaikan rasa
  • Telur kita akan buat telur poach – didihkan air, apabila air sudah mendidih, pecahkan telur (hati-hati jangan sehingga terpecah telur kuningnya-nak mudah pecahkan di dalam penapis). Masak telur di antara 2-3 minit, kemudian angkat dan toskan.
  • Boleh dihidang bersama hirisan daun bawang dan diperasakan dengan emping cili.

Memang padu!

Oat yang dibeli untuk diet, tidak lagi membazir menjadi ‘khazanah’ di dalam kabinet dapur.

Bubur oat ini sesuai dinikmati oleh seisi keluarga. Mahu hidangan seperti bubur nasi berlauk juga ‘kena’.

Malah, lebih penting dapat menjadi ‘milk booster’ ibu yang menyusukan anak sambil berdiet.

Selamat mencuba.

Leave a comment