Kemahiran Penting Penulis Pada Tahun 2025

6–9 minutes

Kerjaya penulis sentiasa malar hijau, berubah mengikut perkembangan teknologi

Sebagai penulis, pastinya timbul perasaan bimbang apabila teknologi yang dikaitkan dapat membantu tugas seorang penulis sedang berkembang atau lebih kepada mahu mengambil alih tugasan ini.

Saya sendiri mula berteka-teki, dan tertanya-tanya ke mana arahnya seorang penulis boleh melangkah lagi terutama bagi yang mengambil upah atau soloprenure.

Saya banyak menyoroti blog-blog penulis lain, dan laman media sosial mereka seperti Linkdn untuk melihat arah tujuan kerjaya ini.

Rata-rata mengakui perkembangan teknologi mempengaruhi gaya kerja mereka dari hari ke hari. Terutama dalam penggunaan AI sebagai alat bekerja.

Sungguhpun masih ada dan ramai penulis terutama di Malaysia mahu berperang dengan teknologi AI, dan menganggap ia masih lemah kerana tidak mempunyai sifat emosi seperti manusia namun berlainan pula dalam dunia perniagaan dan korporat.

Pemain dalam industri menyambut penggunaan teknologi AI dan membuka laluan kepada pakarnya untuk menyertai mereka bagi tujuan mempercepatkan kerja.

Malah terhasilkan teknologi AI ini juga selari dengan keperluan pemain industri yang berlari untuk menggapai peluang-peluang lebih besar serta menguntungkan.

Bagi mereka, kreativiti dan sebagainya boleh diselesaikan dengan kewujudan teknologi selagi tidak menjejaskan keuntungan syarikat.

Namun tidak bagi kita seorang penggiat seni atau komuniti kreatif ini. Apabila bercakap mengenai seni dan kreatif, ianya berbalik kepada hubungan emosi.

Emosi yang tidak boleh dialami oleh sesebuah robot ciptaan manusia walaupun ia diakui bijak, cerdas pandai dan sebagainya seperti AI.

Justeru, walaupun menolak dan seolah ingin menafikan, kehadiran robot AI ini sebenarnya telah memberi kerisauan kepada penulis khususnya.

Bukan soal penulis tega tidak mahu menyambut kehadiran kecanggihan teknologi, tetapi memikirkan peluang meneruskan kehidupan dengan menjual hasil kreatif semakin mengecil.

Jadi, bagaimanakah masa depan seorang penulis upahan?

Set kemahiran penulis upahan di masa hadapan

Selepas munculnya mesin dan robot AI yang boleh membantu manusia untuk menulis dengan lebih cepat, saya sedar penulis menghadapi persaingan yang semakin sengit.

Ditambah pula dengan momokan, kerjaya menulis tidak lagi laku atau peluang untuk meneruskan kehidupan dengan bekerja sebagai penulis semakin kecil.

Namun, sebenarnya pembangunan teknologi seperti ini memberi impak yang baik juga kepada seorang penulis.

Oleh itu, penulis tidak perlu menentang, tetapi sesuaikan diri dengan teknologi dan kehadiran mereka.

Penulis hanya perlu beradaptasi dengan semua perubahan dengan menambah kemahiran, pengetahuan lalu mempraktikkannya. Jadi, semuanya akan berjalan dengan lancar!

Kali ini, mari kita lihat apakah set kemahiran penulis upahan perlu ada dan sesuaikan dengan kemunculan teknologi AI ini seperti Chat GPT?

Sebelum saya kongsi dapatan hasil carian, saya nak berkongsi sedikit mengenai set kemahiran yang saya rasa berguna selepas relajar di universiti.

Saya seorang graduan di peringkat ijazah sarjana muda dengan kepujian dengan master di UUM.

Bidang pengajian saya memang terlibat dengan penulisan, iaitu pengajian teknologi media kewartawanan multimedia.

Pada peringkat ijazah sarjana muda, antara subjek yang saya ambil adalah set kemahiran sebagai seorang penulis atau pada waktu itu major saya dalam bidang kewartawanan.

Di universiti, saya belajar penulisan kewartawan, ini memang subjek wajib lah kan. Kemudian saya belalar pengiklanan, media interaktif, penyiaran dan kewartawanan.

Banyak kemahiran saya dapat pelajari dan kuasai seperti, cara menulis dalam pelaporan berita, mencipta kandungan untuk iklan dari merangka, menghasilkan skrip, dan penggambaran. Semua proses itu saya lalui.

Kemudian, bagi subjek media interaktif saya belajar membina website, maksud saya lebih kepada layout dan design dengan menggunakan software dream weaver.

Saya tidak pasti hari ini masih digunakan atau pun tidak lagi digunakan kerana ia sudah terlalu lama. Dalam subjek ini juga saya belajar untuk membuat animasi.

Kemudian bagi subjek penyiaran, saya belajar menyampaikan berita dan menulis skrip.

Dan bagi subjek kewartawanan, saya belajar menulis, menemubual, mencari, berhubung, komunikasi, mengatur layout tau dari awal proses awal hingga keluarnya akhbar Sintok News.

Pada waktu itu, saya juga telah belajar menggunakan platform online, walaupun ketika itu medium online masih lagi baru di Malaysia.

Apabila, menjelang tahun 2025 barulah saya sedar semua yang dipelajari di universiti dari tahun 2007 hingga 2010 adalah set kemahiran berharga pada hari ini apabila menjadi seorang penulis

Justeru, pada tahun 2025 pastinya set kemahiran yang diperlukan penulis juga semakin bertambah memandang kepesatan teknologi yang tidak pernah berhenti.

Sebelum, kita menguasai set kemahiran tambahan lain, kita semak dahulu set kemahiran berkaitan asas menulis.

Set kemahiran penulis harus kuasai pada tahun 2025 :

1. Story telling digital

Mengetahui audien menggunakan dan bereaksi dengan informasi yang disampai melalui online.

Di mana penulisan moden hari ini perlu mempunyai elemen – perenggan pendek, strategi membina heading, memasukkan visual di antara teks.

Selain itu, penulis harus tahu memecahkan idea yang kompleks kepada lebih santai dan mampu disampaikan dalam bentuk konten yang sesuai di platform media sosial.

seperti yang kita tahu, setiap media sosial mempunyai gaya, penerimaan dan cara yang tersendiri.

2. Berkolaborasi bersama AI

Daripada bermusuhan, berjauhan atau asyik memberi komen negatif tentang keupayaan AI, apa kata tahun 2025 ini kita mulakan perjalanan baru untuk berkolaborasi dengan AI.

Mulakan dengan melatih AI dan belajar untuk menghasilkan prompt yang tepat, dan sesuai dengan kegunaan seorang penulis, sehingga ia boleh menjadi pembantu yang dikehendaki.

Hal ini termasuklah melatih AI supaya membantu mengekalkan keunikan gaya menulis kita, tidaklah AI kaku seperti robot dan tidak manusia.

Begitupun, penulis tetap perlu memantau dan menambah baik karya tersebut. Saya masih tetap dengan pendirian, idea penulis lebih bagus daripada robot AI hal ini ekrana idea adalah anugerah atau ilham yang diberikan oleh Pencipta kepada kita.

Jadi, jadikan AI sebagai pembantu yang boleh merealisasikan idea kita bukanlah bergantung harap sepenuh kepadanya, gunakanlah dan teruslah mengasah otak untuk terus menjadik unik dan menarik pelanggan.

3. Kebijaksanaan Menggunakan Emosi

Selepas kita berkolaborasi dengan AI, biarkan dia menguruskan kandungan yang sempurna dari segi tatabahasa.

Sebagai penulis, kita jalankan peranan penting iaitu memberi sentuhan emosi dalam setiap karya.

Bagaimana kita menyampaikan kandungan atau konten itu pada masa yang sesuai dengan emosi yang sesuai untuk berhubung dengan audien pembaca kita.

Di sini kita akan berjuang habis-habisan untuk menggunakan kebijaksanaan dalam menyesuaikan ( memanipulasi) emosi untuk menarik perhatian, serta memujuk audien.

4 cara bijak menggunakan emosi untuk berhubung dengan audien :

  • ambil tahu keadaan emosi audien dan sesuaikan suara/gaya penulisan yang sesuai
  • bina konten yang sesuai lebih kepada personal tetapi masih kekalkan tahap profesional – etika, garis panduan
  • libatkan nuansa budaya dan tulislah untuk dunia. (jika menulis untuk audien sekelingling, lokal gunakan elemen budaya, jika untuk kesedaran dunia jadikan lebih general untuk memastikan semua merasa terlibat)
  • cipta mesej untuk membina kepercayaan dan memupuk hubungan tulen

4. Gaya Penulisan

Gaya penulis yang boleh disesuaikan mengikut platform, dan medium media sosial.

Sebagai penulis kita pernah menulis untuk emel, media sosial, kandungan kreatif, ilmiah, teknikal dan sebagainya – semua saluran ini memerlukan gaya yang berbeza namun masih mengekalkan konten yang sama.

Justeru, tidak ketinggalan juga kemahiran menulis yang dituntut pada tahun 2025 ini. Penulis perlu ada keanjalan untuk mengubah gaya penulisan secara tiba-tiba dan cepat untuk menyampaikan mesej kepada pelanggan.

Di mana kita sebagai penulis perlu bersedia dan tahu untuk :

  • tukar gaya penulisan mengikut medium penyampaian seperti emel, kenyataan media, konten media sosial dan sebagainya
  • pastikan gaya jenama masih sama untuk setiap saluran penyampaian mesej
  • mengubah maklumat yang komplek kepada lebih kepada ringkas
  • tulis untuk kedua-dua entiti hidup dan mesin iaitu untuk manusia dan enjin carian

5. Strategi Pengurusan Kandungan

Dunia penulisan hari ini, bukan lagi berlegar tentang memilih perkataan yang sesuai tetapi melakukan strategi untuk menguruskan kandungan di setiap pelatform penyampaian.

4 kemahiran yang diperlukan dalam merancang dan menguruskan kandungan secara berstrategi :

  • tulis kandungan yang jelas dan mempunyai struktur yang logik
  • bina header dan subhead yang tepat, dan masukkan visual yang sesuai di tempat sesuai
  • menulis sambil mengekalkan lenggok yang sama dan semakin mendalam
  • menyusun atur maklumat supaya orang ramai dan enjin carian dalam memmahi dan mampu memprosesnya

Penulis Masa Depan

Oleh itu penulis masa hadapan, bukan hanya sekadar memikirkan cara menggunakan dan meletakkan perkataan yang tepat pada tempatnya sebaliknya mmemastikan diri dan kemahiran sentiasa ditingkat serta mudah beradaptasi dengan teknologi yang semakin pesat membangun.

Penulis tidak lagi boleh menolak untuk kekal relevan dan memastikan masih boleh meneruskan kehidupan dengan menjadi bidang ini sebagai kerjaya.

Sebaliknya, segera mempelajari dan menguasai 5 kemahiran yang dijelaskan di atas. Bagi saya ia tidaklah terlalu berat dan sukar, hanya perlu menambah baik sahaja.

Caranya adalah banyak membuat kajian dan mempelajari serta mula menggunakannya dalam aktiviti menulis seharian.

Sebagai penulis, tidak perlu takut sebaliknya menerima segala teknologi yang datang dengan tangan dan minda terbuka.

Sentiasalah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang perubahan, walaupun ganjil dan sukar pada permulaannya, namun seperti pepatah Melayu :

Alah bisa, tegal biasa

Leave a comment