Bina Gaya Sendiri, Bina Kreativiti, dan Keyakinan

Sebagai seorang penulis, pastinya berdepan dengan pelbagai masalah yang boleh menyebabkan aktiviti menulis terhenti.
Banyak alasan yang diberikan penulis, sehinggalah artikel atau penulisan tersebut gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Sebenarnya, menjadi seorang penulis adalah memberi kebebasan kepada seseorang individu itu untuk berkarya tanpa sempadan.
Karya yang dihasilkan tanpa sempadan akan menjadi lebih universal, mencapai objektif, kritis dan menyentuh ke hati pembaca.
Begitupun, percaya atau tidak bagi sesetengah penulis terutama penulis pemula menghadapi kekangan dalam menghasilkan penulisan yang baik dan tepat pada waktunya.
Hal ini berikutan, perasaan takut, bimbang dan was-was penulis terhadap beberapa perkara seperti :
- Kesilapan fakta
- Logik
- Tatabahasa
- Kesalahan ejaan
Malah, kebimbangan terhadap perkara-perkara lain juga berlaku kepada penulis pemula sehingga menjadi gangguan dalam penghasilan karya dan aktiviti menulis.
Ini juga menjadikan penulis mula menetapkan had di dalam penulisan dan aktiviti menulis mereka.
Lebih parah, penulis mula kehabisan dan kehilangan idea kerana telah menetapkan had-had tersebut.
Kenapa perlu tidak penulis tetapkan had?

Sebenarnya membiarkan diri tanpa meletakkan had dan kebimbangan semasa menulis akan memboleh seseorang penulis itu menghasilkan karya yang kreatif dan mengikut gaya sendiri.
Walaupun, tidak menetapkan had ini mempunyai risiko yang tersendiri namun penulisan yang dihasilkan akan menjadi unik.
Sedar atau tidak sekiranya penulis tidak menetapkan had, aktiviti menulis akan menjadi lancar, meningkatkan produktiviti dan dapat mengembangkan idea dengan lebih baik.
Malah, menulis tanpa had ini membantu membina keyakinan diri penulis untuk menghasilkan karya yang lebih kritikal, mendalam serta membina.
Elak kesalahan dengan proses akhir penulisan
Jangan risau untuk mengambil risiko tentang kesalahan yang boleh berlaku apabila anda tidak menetapkan had dalam menulis.
Perkara ini boleh diselesaikan dengan mengambil langkah terakhir dalam menulis iaitu :
- Melakukan editing
- Melakukan pembacaan pruf
Dua perkara ini penting bagi memastikan penulisan anda tepat, dan tidak mempunyai kesalahan dalam penulisan.
Leave a comment