Dunia ghostwriter di Malaysia boleh dianggap masih baharu dan hijau. Mungkin ramai yang masih tidak tahu apa tanggungjawab yang perlu dilakukan seorang ghostwriter kepada diri sendiri, karier dan masyarakat.
Hari ini dunia yang dipenuhi dengan teknologi digital membolehkan semua orang menjadi penulis.
Menulis di status media sosial untuk diri sendiri, meluah perasan, membina konten berbentuk video di TikTok untuk kepuasan sendiri dan sebagainya juga boleh digelar penulis atau content creator.
Bagaimanapun, bagi penulis sebegini yang bukan bertujuan untuk menjana pendapatan atau menjadikannya sebagai bisnes, saya tidaklah mengambil kisah.
Namun perlu diingat juga siapa pun kita, penulisan yang kita kongsi dan konten yang kita cipta dan diterbitkan kepada umum ada ‘nilai’nya.
Nilai ini yang menjadi tanggungjawab kepada penulis-penulis sama ada profesional atau pun suka-suka.
Bagi penulis upahan atau ghsotwriter yang memilih laluan ini untuk menjana pendapatan, ingat tanggungjawab anda lagi besar!
Jika dahulu, ketika saya bekerja dalam syarikat akhbar dan menjadi pengamal media tanggungjawab sebagai seorang wartawan yang menghasilkan berita dalam bentuk teks, audio atau video tidak boleh dipandang enteng.
Seperti semua orang tahu, industri media suatu ketika dahulu adalah berkaitan akhbar, radio dan televisyen kemudian ia berubah kepada digital dengan adanya portal berita.
Konten yang dihasilkan juga berubah dari percetakan, kepada video, audio, animasi, teks dan grafik.
Perubahan teknologi yang tidak boleh dihalang akhirnya menjadi media sebagai multimedia. Pelbagai platform multimedia boleh digunakan orang media.
Malah masyarakat juga boleh gunakan platform multimedia ini dengan pelbagai tujuan.
Walaupun sebelum ini, ia hanya terkenal dengan tujuan perkongsian maklumat peribadi, komunikasi dengan orang yang lebih jauh tanpa sempadan, menambah kenalan namun kini berubah dan dijadikan satu platform penting untuk perniagaan, pemberitahuan, berkongsi, berinteraksi dan sebagainya.
Fokus utama saya, platform ini digunakan oleh para penulis upahan atau ghostwriter untuk menjana pendapatan.
Bukan hanya orang bisnes malah badan kerajaan juga menggunakan platform multimedia seperti Facebook untuk berinteraksi dengan masyarakat.
Bagi penulis upahan atau ghostwriter pula, pastinya cabaran dan tanggungjawab turut menjadi besar kerana teknologi multimedia tiada ‘undang-undang’ yang jelas.
“Eh saya pernah nampak, ada saja orang kena hukum kerana langgar undang-undang,”-netizen
Ya, semestinya ada namun ia adalah sekiranya seorang itu benar-benar melakukan sesuatu menyalahi undang-undang yang termaktub dalam akta yang digariskan kerajaan dan badan berkanun.
Akan tetapi kita sebagai penulis upahan dan ghostwriter, tiadalah undang-undang yang jelas untuk kita mungkin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan sebagainya boleh digunapakai dan dijadikan panduan.
Begitupun saya mahu berkongsi beberapa cara untuk menjadi penulis yang baik.
6 cara menjadi penulis yang baik :
1. Ambil tahu undang-undang berkaitan penulisan, penerbitan, media sosial di negara
Ini adalah persediaan untuk seorang penulis upahan apabila menerima ‘job’ daripada klien terutama mengenai copywriting berbentuk ubat-ubatan, produk kecantikan, buku dan sebagainya.
2. Menghasilkan konten penulisan yang tepat, dan benar
Sungguhpun banyak penulis upahan ini kadangkala menyediakan konten daripada daya kreativiti dan imaginasi seperti menulis anekdot, storytelling namun pastikan maklumat yang disampaikan berasas.
3. Tidak berkongsi dan menyebarkan konten tidak sahih
Kita sebagai penulis upahan dan ghostwriter yang menjadi karier ini sebagai sumber pendapatan perlulah kawal diri untuk berkongsi maklumat yang tidak sahih, fitnah dan mengaibkan.
Sungguhpun penulis mahu memberi pandangan jadikannya lebih berimpak positif. Ingat kita ada kredibiliti, dan tidak sama seperti netizen yang menulis untuk kepuasan sendiri.
4. Menggunakan ejaan penuh
Ya saya akui, menulis di media sosial hari ini tidak boleh kaku dan kejung, kena ikut cara audien.
Begitupun sebagai seorang penulis profesional, biasakan diri untuk menulis dalam ejaan penuh sama ada posting di media sosial, membalas whatsApp klien dan sebagainya.
Ini adalah ciri-ciri seorang penulis, mana boleh malas-malas menulis atau menaip!
5. Elakkan typo
Error atau typo ini selalu juga terjadi kepada diri saya. Tidak tahulah apa yang dikejarkan. Bukan wartawan lagi pun nak menaip laju-laju hantar story.
Sebolehnya sebagai penulis, pastikan penulisan anda kemas tanpa sebarang typo, spelling error dan sebaganya.
Jika anda memprosikan diri di blog, pastikanlah ia ditulis dengan kemas walaupun cara anda adalah santai.
“Saya sedih tengok ada penulis upahan, yang masih mengambil mudah menulis di blog dengan huruf kecil dan besarnya tidak mengikut susunan, benda-benda basic seharusnya seorang penulis kena baiki dan lakukan kesilapan,” – Cik Milah.
6. Penggunaan tatabahas
Bab tatabahasa ini tengok jugalah apa konten yang perlu penulis hasilkan. Topik tatabahasa ini luas.
Contohnya macam copywriting penggunaan tatabahasa dalam konteks ayatnya mungkin berlainan daripada menulis artikel blog.
Kesimpulannya, walaupun bilangan ghostwriter di Malaysia ini tidak digariskan dengan undang-undang tersendiri tetapi sebagai penulis profesional kita seharusnya perlu mengambil tahu juga.
Sudah pastilah keutamaan ghostwriter adalah tanggungjawab diri sendiri sebagai seorang yang beragama Islam.

Leave a comment