Penulis upahan atau ghost writer adalah orang yang melakukan kerja-kerja menulis bagi pihak lain. Namanya juga tidak akan dimasukkan ke dalam bahan bacaan seperti buku, manuskrip, artikel dan sebagainya.
Pasti ramai yang menganggap sukar untuk mencari makan dengan menjadi seorang penulis. Bagi saya persepsi atau penilaian begitu ada benarnya namun bergantung terhadap seseorang penulis tersebut.
Realitinya begitulah!
Saya yang bekerja dalam bidang kewartawanan hampir 10 tahun lalu hampir tertewas dengan tanggapan sesetengah individu berkenaan bidang penulisan.
Hanya jauhari mengenal manikam.
Namun, saya percaya kemahiran menulis sebagai seorang bekas wartawan boleh digunakan untuk menjana pendapatan lumayan pada hari ini.
Bagaimanapun, beberapa perkara perlu dilakukan sebelum boleh mencari makan sebagai seorang penulis pada era digital ini.
Antara yang saya lakukan adalah :
- Mengambil kelas menulis

Selepas saya berhenti bekerja sebagai koordinator program di bawah badan yang mengendalikan program keusahawanan untuk golongan B40 dalam misi menaikkan taraf ekonomi mereka. Saya tidak berlengah untuk mencari dan menyertai kelas penulisan atau lebih tepat ghost writer.
Bermula dari situ, keyakinan diri meningkat untuk menjalankan bisnes servis penulis upahan.
- Tambah ilmu

Jika mahu penulis yang diburu prospek, ilmu marketing digital perlu dikuasai. Dunia penulisan yang paling mudah buat duit hari ini, ialah berkiatan copywriting dan content writing.
Banyak syarikat dan pemilik bisnes yang beralih kepada pengdigitalan perniagaan memerlukan penulisan profesional untuk kempen marketing mereka.
Belajar dan kuasai segera.
- Latihan

Latihan menulis sangat penting untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri. Kebiasaannya saya akan membuat latihan atau mengasahkan kemahiran menulis melalui blog dan media sosial seperti Facebook.
Latihan ini boleh jadi melalui copywriting atau pun content writing. Perbanyakan aktiviti menulis termasuklan memberi ulasan, idea dan pendapat.
- Membaca

Sebagai seorang penulis, membaca adalah sumber dan pelaburan masa yang perlu dilakukan. Penulis perlu banyak membaca untuk meningkatkan pengetahuan, menambah kosa kata dan mengisi bank penulisan.
Semakin banyak membaca, semakin mantap penulisan yang dihasilkan seseorang penulis.
Genre bahan bacaan?
Saya baca semua buku, mengikut keperluan dan mood.
- Masuk pertandingan

Banyak pertandingan menulis dianjurkan dan menawarkan hadiah berupa wang tunai. Menyertai pertandingan sebegini bukan sahaja dapat mengasah minda, tetapi untuk menguji tahap kemahiran menulis yang dimiliki.
Saya suka menyertai pertandingan menulis esei dan artikel berilmiah untuk menguji tahap kemampuan berfikir secara kritis, mengolah dan menulis.
Jika menang itu satu pencapaian yang boleh dijadikan nilai tambah dalam biografi seorang penulis.
- Kembali kepada asas

Sebagai seorang penulis, mengetahui asas Bahasa Melayu atau bahasa yang menjadi pilihan penulis itu penting.
Menulis berkait rapat dengan aspek pendidikan dan pembelajaran Bahasa Melayu. Walaupun penulis bukanlah guru bahasa namun mengetahui asas Bahasa Melayu itu sangat penting.
Saya tidak nafikan, teknik menulis dalam bidang digital marketing ini tidak menggunakan Bahasa Melayu baku, namun ia penting untuk seorang penulis menulis dengan mengetahui asas penulisan itu.
- Berdoa

Doa adalah senjata orang-orang mukmin.
Sehebat mana pun seorang penulis, Allah jugalah yang mengizikannya. Sebagai seorang penulis, tanggungjawab terhadap bahan penulisan perlu dipikul.
Bagi mengelakkan penulisan yang memberi pengaruh buruk, dan merosakkan minda masyarakat sentiasalah berdoa dan dekatkan diri kepada Allah.
Malah dengan solat dan berdoa kepada Allah juga, akan memudahkan penulis memulakan kerja menulis dan mengetahui batas-batas dalam setipa penulisan sebelum diterbitkan.
Menambah ilmu-ilmu agama dengan mendengar ceramah, menghadiri kuliah agama, membaca buku-buku agama, tafsir al-quran dan hadis akan menjadikan penulis lebih bertanggungjawab.
Kenapa tidak untuk menjadikan kerjaya menulis ini sesuatu yang boleh memberi pulangan untuk agama, bangsa dan dibawa ganjaran ke akhirat?
Jadi bagi menjadi seorang penulis upahan pemula, ketahui hasrat utama anda memilih bidang ini selain menjana pendapatan.
Tepuk dada tanya iman, semoga berjaya!

Leave a comment