Depresi Dari Sudut Islam Dan Cara Merawat

3–5 minutes

Isu depresi hari ini semakin kritikal, malah di media sosial masalah berkaitan mental ini juga semakin kerap dikongsikan.

Lebih memburukkan apabila pengguna media sosial tidak lagi segan silu menceritakan tindakan merbahaya yang diambil apabila mereka terkepung dengan isu depresi.

Hal ini tidak bagus diberi pendedahan secara terus di media sosial seolah menjadikannya satu idea, dan normalisasi kepada masyarakat terutama anak-anak di bawah umur.

Walaupun depresi bukan isu baharu, namun kesedaran terhadap penyakit ini semakin meningkat. Tahun 2021 mengikut data WHO, sebanyak 264 juta orang menghidap depresi di seluruh dunia terutamanya kaum wanita.

Saya gembira ada yang berkongsi cara menangani depresi dengan tindakan positif, malah ia lebih bermanfaat kepada masyarakat.

Maksud depresi ialah penyakit berkaitan mental iaitu tekanan, atau kemurungan.

Ramai orang-orang terkenal seperti artis telah mengambil tindakan dengan mengambil nyawa sendiri (bunuh diri) kerana depresi.

Jika di Malaysia ramai yang kaitkan penyakit depresi ini dengan masalah kewangan, dan pengambilan barangan terlarang.

Sehinggakan peningkatan kes jenayah di negara ini juga dikaitkan dengan depresi.

Tapi ramai yang seolah tidak mahu mengakui, depresi itu juga ada ubatnya yang tidak perlu dibayar dengan wang ringgit.

Ubat depresi tidak menggunakan wang

Saya pernah menghidap depresi ketika di bangku universiti.

Bagaimana perasaan dan keadaan ketika depresi?

Walaupun ketika itu saya tidak sedar apa yang sedang dihadapi itu adalah depresi namun saya merasai keperitannnya.

Apa yang saya ingati ketika itu, jiwa saya seolah kosong, hidup tidak gembira dan sering berfikir bukan-bukan.

Pada waktu malam pula, saya sukar untuk melelapkan mata seolah ada sesuatu yang menggongcangkan katil, menarik selimut dan sesekali sukar bernafas.

Badan juga sering mengalami seram sejuk dan tangan berpeluh dingin.

Bukan senang untuk menghilangkan depresi walaupun berbagai tindakan saya lakukan.

Namun saya berfikir, mana mungkin saya menghabiskan kehidupan dengan cara begitu.

Saya mula mengambil pendekatan mengubah cara hidup dan keluar dari lingkaran gelap itu.

Syukur kerana didikan sejak dari kecil membaca al-quran, kitab suci itu tidak lagi lekang dalam diari kehidupan selepas itu.

Pada waktu petang, jika tiada kelas saya mula berjoging walaupun seorang diri.

Saya juga menghubungi kawan-kawan satu sekolah, yang kebetulan blok penginapannya tidak jauh dari blok asrama saya.

Saya juga memperbanyakan aktiviti seperti mencuba untuk berniaga bersama kawan, memasak dan membuat aktiviti bersama.

Memang saya cuba untuk tidak tinggal bersendirian di dalam bilik asrama.

Saya akui bukan mudah untuk melepaskan diri dari depresi apabila masih berada dalam lingkungan dan melalui kehidupan itu setiap hari.

Namun dengan pendekatan yang saya ambil, depresi itu boleh dikurangkan dan akhirnya hilang begitu sahaja.

Begitulah sehingga hari ini, jika saya berada dalam keadaan depresi walaupun proses penyembuhannya bukan sehari namun ia membantu malah lebih tenang apabila mendekatkan diri dengan Allah.

Depresi tiada muka!

“Depression don’t have a face”

Depresi adalah satu perkara ghaib yang ada di dalam hati manusia. Ia bukan satu penyakit yang boleh dilihat tetapi sesuatu yang tidak dilihat atau ghaib.

Dalam satu cerama Ustaz Don, ramai yang sering menghidap depresi kerana kurang pengetahuan ilmu berkaitan qada dan qadar, iaitu rukun Iman ke 6.

Depresi adalah perkara yang tidak nampak dan berkaitan dengan iman. Iman ini terletaknya di dalam hati manusia, dan tidak dapat diwarisi sekiranya tidak mencari.

Dalam Islam, perkara berkaitan qada dan qadar ini juga disebut dalam al-Quran, seperti kisah Maryam yang mengandung walaupun tidak pernah disentuh oleh lelaki.

Maryam sendiri pada mulanya tidak mahu, namun akur dengan qada dan qadar apabila ia adalah arahan dari Allah SWT.

Hal ini kerana Maryam beriman dengan qada dan qadar.

Nabi Musa yang kuat juga pernah memohon kepada Allah untuk memberinya seorang teman untuk melalui kehidupan dan perjuangan baginda dalam menyebarkan syiar Islam.

Justeru dalam kehidupan ini, kita semua perlu mencari kawan dan guru untuk mengisi semula kekosongan hati. Jangan melalui hidup dengan bersendirian dengan tiada kawan untuk rujukan dan peneman.

Tapi jangan tersalah pilih teman yang mendorong untuk kita melakukan perkara yang sia-sia.

Bagaimanapun kunci utama untuk mengatasi depresi adalah dengan bertafakur.

“Kita perlu berhenti, pause dan bertakafur sebentar dalam kehidupan, jangan terus lari tidak tengok kiri dan kanan. Kita ada yang pencipta, dan apa tujuan dalam kehidupan ini,” – Ustaz Don.

Dapatkan rawatan

Saya terkesan apabila ramai mengaitkan, orang yang memakai tudung labuh pun mendapatkan rawatan psikitri di hospital.

Bagi saya manusia di zaman ini bukan seorang ma’sum dan nabi. Semua orang ada kelemahan dan kekurangan.

Kurang tepat sekiranya mahu mengukur tahap iman seseorang dengan hanya melihat pemakaiannya sahaja.

“You get what you want, but don’t get what you need”

Oleh sebab itu, setiap manusia perlu mempunyai pegangan agama untuk kembali mencari keperluan dalam kehidupan dan mengamalkan ajarannya.

Islam adalah agama syumul, namun sejauh mana kita mendalaminya, dan meyakininya menjadikan kita berbeza di antara satu sama lain.

Leave a comment