Kerja-kerja menulis pastinya ia sangat mudah bagi penulis upahan untuk menyiapkannnya seperti klien inginkan. Malah, saya pasti idea-idea yang disuntik dalam copywriting, artikel atau penulisan-penulisan lain mampu mengembirakan klien.
Apa yang diperlukan klien pasti dapat disiapkan dengan baik dan sempurna oleh penulis upahan. Saya yakin penulis upahan sendiri ada prinsip dan mengambil tahu hal-hal berkaitan tidak boleh, pelanggaran undang-undang, sensitiviti dan penulisan-penulisan yang boleh membangkitkan fitnah, dan kekecohan kepada masyarakat. Lebih buruk kepada negara dan agama.
Bekerja atau menjadi penulis upahan juga seperti pekerjaan lain yang mempunyai garis panduan atau tertakluk kepada sesuatu undang-undang bagi mengelakkan klien dan penulis sendiri menghadapi masalah.
Namun sebagai penulis upahan, isu pelanggaran undang-undang dan seumpama ini sangat kurang berlaku, jika ada mungkin kes-kes terpencil atau permintaan daripada klien sendiri. Kebiasaannya penulis upahan dan saya sendiri akan menghasilkan copywriting atau penulisan lain yang ‘clean’ untuk diterbitkan atau diiklan kepada masyarakat.
Bagaimana pula dengan penulis upahan iaitu cybertrooper? Erm…isu ini saya tidak berani untuk mengulas panjang. Apa pun ia berbalik kepada tahap intergriti dan prinsip penulis itu sendiri untuk menilai, menerima dan menjalankan tanggungjawab sebagai penulis.
Saya seorang penulis kandungan atau content writer di sebuah syarikat pengiklanan (digital marketing). Kebanyakan klien syarikat ini terdiri daripada tahfiz, madrasah, masjid, surau, sekolah agama dan NGO. Alhamdulillah penulisan yang saya hasilkan banyak berkisar mengajak orang membuat kebaikan, mengingati umat Islam untuk mengingati mati, mengingati hari akhirat dan memberi kesedaran kelebihan amalan-amalan bersedekah contohnya.
Oleh itu, penulisan untuk syarikat yang saya bekerja Insya-Allah mudah-mudahan diberkati dan diredai Allah.
Namun begitu, saya juga masih mengambil upah sebagai freelance ghostwriter, penulis upahan, content writer dan copywriter. Dalam kerjaya sebagai freelance penulis upahan ini, kebanyakan klien saya adalah founder, ejen, stokis, manager dan pemilik bisnes yang mahu berjimat kos serta tiada masa untuk memikirkan berkenaan hal material konten-konten marketing mereka.
Di sini saya bukan hanya menghasilkan penulisan untuk material konten marketing khususnya dalam copy dan artikel tetapi berkongsi pandangan untuk memastikan penulisan yang dihasilkan mencapai objektif yang diinginkan klien. Maksudnya saya akan memberi konsultan secara percuma mengikut penelitian, analisis, eksperimen dan pengalaman sebelum-sebelum ini.
Hebatnya awak!

Allahuakhbar, sesungguhnya kehebatan itu bukan milik saya, tetapi Allah. Saya ingin tekankan dan jelaskan apa yang dikongsikan bukan membuktikan saya hebat dalam bidang ini, tetapi sekadar pandangan selepas dibuat analisis, penelitian, dan beberapa perkara lain untuk membantu pemilik bisnes atau klien mencapai objektif yang dikehendaki mereka.
Objektif klien ini pastilah meningkatkan hasil jualan, menyebarluaskan awareness tentang produk, bisnes mereka kepada orang ramai, dan saya pasti pemilik bisnes ini juga mahu berkongsi kebaikan produk-produk mereka untuk membantu prospek yang memerlukan. Ini pasti tujuan utama klien, begitu juga saya seorang penulis upahan untuk membantu mereka menyampaikan nilai produk kepada masyarakat.
Cik Milah
Apa pun istilah yang digunakan dalam bidang marketing digital, matlamat utama pemilik bisnes adalah meningkatkan jualan.
Dalam keghairahan penulis upahan membantu klien untuk mencapai matlamat atau objektif klien, namun ada juga perkara yang paling ditakuti penulis upahan.
Apakah?
Saya sendiri setiap kali mendapat job baru daripada klien, saya juga mempunyai perasaan agak nervous, bukan kerana tidak tahu atau tidak ada idea untuk menulis namun memikirkan jika saya terpaksa menipu atau istilah lain ‘overclaim’ dalam copy. Nauzubillah…
Malah, overclaim produk juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Begini, sebenarnya penulis upahan adalah seorang yang kreatif dan penuh seni, bukan seorang penipu atau memutar belit fakta atau overclaim.
Saya yakin setiap penulis upahan tidak sanggup untuk menipu orang ramai, kerana jika penulisan yang dihasilkan dibaca dan dikongsi orang ramai, berapa banyak dosa perlu ditanggung. Menulis ini adalah pekerjaan mulia ia boleh menjadi dakwah, malah Imam Al-Ghazali dalam nasihatnya ada menyebut :
Jika kamu bukan anak raja, atau anak ulama besar, menulislah.
Imam Al-Ghazali
Maksudnya dengan menulis juga, seseorang mampu berdakwah dan membuat pahala walaupun tidak mempunyai harta dan bukan anak orang alim ulama.
Saya sebagai seorang penulis upahan akan pastikan penulisan yang dihasilkan tidak ‘menipu’ atau false info, misleading dan sebagainya, sebaliknya memberi drama, emosi dan beberapa elemen yang ditekankan dalam penulisan copy atau artikel. Penulisan yang dihasilkan disusun sebaiknya mengikut seni sesuatu tujuan penulisan tersebut.
Contohnya, copywriting juga mempunyai seni tersendiri dan teknik-teknik untuk menarik pelanggan, begitu juga dalam penghasilan artikel-artikel yang bertujuan untuk konten pemasaran atau marketing.
Sebab itu penulis upahan, perlu melakukan kajian terhadap niche produk untuk klien sebelum menghasilkan copy atau penulisan artikel. Penulis yang membuat kajian sedaya upaya akan mengelakkan daripada membuat penipuan atau overclaim. Tapi masih menggunakan teknik ‘claim’ dalam copy penulis upahan.
Apakah ada cara lain?
Ya ada. Saya sendiri akan menggunakan cara lain untuk menggantikan penulisan overclaim dan memastikan copy atau artikel yang dihasilkan realistik, bukan untuk menipu sebaliknya berkongsi manfaat, value atau nilai (X Factor) produk klien.
Bagaimana tu?

Setiap produk klien pastinya ada sesuatu nilai yang boleh diberi penekanan untuk menarik prospek, bukan rekaan tetapi nilai yang belum pernah diketengahkan klien. Namun jika tiada nilai baru yang boleh diketengahkan, penulis upahan akan mula memikirkan kempen-kempen yang boleh digunakan untuk menarik perhatian prospek.
Sebab itu sebelum ini, saya ada menyatakan penulis upahan ini perlu menjadi seorang yang perlu lebih sedikit advance dalam bidang ini. Di mana saya sendiri mempelajari dan bereksperimen dalam semua platform media sosial, dan study aplikasi TikTok, atau Fb Ads contohnya, supaya penulisan yang dihasilkan mencapai objektif. Saya juga mengikuti melabur untuk mengikuti kelas-kelas berbayar atau meluangkan masa mengikuti seminar percuma yang dianjurkan “sifu-sifu” platform marketing digital ini. Malah banyak berbelanja untuk membeli buku-buku berkaitan dan meminjamnya di perpustakaan awam untuk lebih memahami dan mengaplikasikan di dalam penulisan secara berkesan.
Ini pendapat saya, jika sebelum ini penulis berdakwah melalui penulisan di artikel Islamik atau akademik, kini dakwah juga boleh dilakukan penulis upahan melalui penulisan iklan.

Baca juga >>>Tips Bagaimana Menulis Copywriting Untuk Produk Yang Sama
Baca juga >>>Rahsia Untuk Iklan di TikTok
Baca juga >>>Bagaimana Penulis Upahan, Penulis Kandungan Bekerja?
Baca juga >>>10 Jenis Copywriting Bisnes Yang Perlukan Khidmat Penulis Upahan!
Baca juga>>>Apa Tugas Penulis Upahan

Leave a comment