Ceritanya selepas saya berhenti kerja di satu syarikat dalam bidang human capital.
Kalau tidak salah, keputusan itu dibuat pada bulan September 2021, nekad betul saya ketika itu tanpa berfikir panjang. Kalau difikirkan peluang pekerjaan dan wang untuk membayar segala macam komitmen setiap bulan, mahu menangis juga. Iyalah negara masih lagi dalam pandemik, ramai yang hilang pekerjaan saya mula seperti sengaja menyerahkan tengkuk untuk disembelih.
Namun, disebabkan mungkin perangai saya yang berhati kental dan sentiasa yakin Allah pemberi rezeki perasaan kelam kabut itu tenggelam begitu saja.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)
Kononnya dalam tempoh menghabiskan cuti tahunan berbaki itu, mahu berehat tanpa memikirkan kerja tapi iyalah sudah terbiasa bekerja mana boleh duduk diam.
Gatal sahaja tangan mengetuk papan kekunci di komputer riba mencari peluang-peluang pekerjaan. Berbekalkan sedikit bakat penulisan dan minat yang mendalam, akhirnya pencarian untuk terus menulis menemui sesuatu yang diharapkan.
Saya masih ingat, ketika itu saya menghabiskan malam dengan suami dengan menonton televisyen di ruang tamu, di mana anak-anak pun telah dibuai mimpi indah saya kira.
“Sayang tengok ni ada kursus penulisan lah. Harga pun tak adalah mahal sangat. I tengok testimoni pun okay jer,”.
“Ya ke? Haaa cuba lah tengok. Lagipun sayangkan pandai menulis. Daftarlah, kut-kut itu rezeki sayang,” begitu ulah suami selepas mendengar suara keterujaan saya memberitahu tentang iklan kursus penulisan yang ditemui di Facebook.
Kursus itu diadakan selama dua hari, banyak juga benda yang saya pelajari. Paling berharga cara zero coast promosikan diri sebagai ghostwriter atau penulis upahan kepada rakan-rakan Facebook.
Dasyat betul. Saya mendapat banyak tanda like dan komen. Mungkin orang pun teruja mengikuti posting-posting yang saya post mengenai profesion baru yang diceburi ini. Jarang saya rasa orang dengar dan mengenali penulis upahan atau pun ghostwriter.
Selepas berjaya menghabiskan kursus dua hari, saya tertarik dengan senior dalam grup support penulis upahan di Facebook. Saya mula stalk dan add sebagai rakan di Facebook. Hebat betul orangnya dan adalah kisah sedih yang terjadi kepadanya diberhentikan kerja dan sebagainya.
Tapi pengalamannya dalam bidang penulisan begitu lama.
Selepas itu, saya mula jadi seorang yang rajin buku-buku mengenai digital marketing dan pelbagai buku lain. Kalau sudah jadi penulis perlulah menulis, di mana mahu datangnya idea adalah dengan membaca. Menjadi penulis upahan di zaman ini, penulis akan banyak mendapat job dan perlu pitching orang bisnes. Penulis upahan perlu menjadi penulis yang boleh jadi copy writer, content writer, dan content marketer.
Memanglah kerja sebagai wartawan sebelum ini, menulis namun style penulisannya agak berbeza dengan bidang penulis upahan. Penulis upahan kebanyakannya bukan lagi bergantung kepada menulis manuskrip buku, atau novel sebaliknya lebih kepada penulisan untuk bisnes atau content marketing.
Jika sebut bisnes sudah pasti tujuan penulisan itu adalah untuk menarik prospek atau pelanggan. Samada penulisan untuk promosikan produk, servis atau pun berkaitan tanggungjawab sosial masih bermotifkan jualan, untung, rugi bisnes.
Bagaimana tarik klien?
Di sinilah saya menghadapi masalah sekiranya tidak memahirkan diri dalam bidang marketing digital teutama untuk penghasilan content.
Ketika bekerja sebagai wartawan, tidaklah saya menulis untuk menjual produk sebaliknya dalam penulisan seorang wartawan perlu mempunyai elemen-elemen berita lain untuk orang membaca. Walaupun tujuannya sama untuk menarik orang, tetapi bukan bertujuan untuk jualan. Cukup sekadar orang membaca, klik untuk membaca, klik untuk menonton bukan untuk membeli.
Namun, sebagai penulis upahan, ghostwriter saya perlu memahirkan diri dalam bisnes, sama seperti orang bisnes.
Bukan lagi menulis untuk bagi orang baca sahaja tanpa membuat apa-apa tindakan. Saya perlu pastikan penulisan untuk content marketing itu diklik, dibaca dan akhirnya membuat keputusan untuk membeli.
Seorang penulis upahan ketika ini perlu faham ilmu marketing dan mahir jika mahu jana pendapatan.
Saya pernah terima beberapa WhatsApp selepas run iklan di Facebook mengenai pakej membuat landingpage, sale page, dan mini site serendah RM99 untuk kempen promosi Nak Raya Dah mengenai pakej run Fb Ads. Saya dapat mesej ini dari founder-founder yang baru meluaskan pemasaran melalui digital. Mereka tiada ilmu tentang marketing, tiada bajet besar untuk mengupah staf, pernah mencuba tetapi tidak seperti yang diharapkan dan tiada masa untuk mempelajarinya.

Sedangkan sebelum ini saya tidak pernah menawarkan pakej tersebut.
Kadang-kadang secara tidak langsung sebagai penulis upahan, saya terpaksa menjadi konsultan content marketing secara percuma untuk founder atau klien baru ini. Tetapi saya suka melakukannya, apabila idea dan pendapat didengari mereka.
Sekarang anda nampak bertapa pentingnya penulis upahan menguasai segala ilmu berkaitan marketing digital.

Saya pernah mengikuti program di bawah MDEC mengenai Facebook Bussines, tapi untuk mendapatkan sijil daripada Facebook memerlukan yuran yang agak mahal. Tetapi banyak ilmu untuk menjalankan perniagaan di Facebook saya pelajari.
Namun belajar tanpa mengamalkannya ia tidak memberi apa-apa perubahan. Jadi saya memberanikan diri untuk melabur dalam Facebook Ads dan mempraktiskan sendiri menggunakan Ads Manager dan setting-setting untuk mencapai objektif kempen iklan di Fb Ads.
Tahu tak, jadi hasil daripada eksperimen itu banyak yang saya tahu dengan lebih jelas. Sekarang saya tidak teragak lagi untuk mengambil upah run Fb Ads dan menyediakan pakej Nak Jimat Kos Marketer serendah RM599 sahaja, siap dengan landingpage onpay untuk pakej trial 90 hari.

Kemahiran ini bukan percuma, penulis upahan perlu juga mengeluarkan wang dan melabur. Bukan zero modal.
Tak habis di situ sahaja, sebagai penulis upahan saya juga perlu belajar design. Sekarang banyak perisian design, penulis mampu men’design’ poster, video untuk kegunaan klien dalam content marketing mereka. Ini lebih menarik jika dimasukkan ke dalam pakej penulis upahan.
Saya juga sangat bersyukur menjadi sebahagian daripada pekerja di sebuah syarikat pengiklanan digital sebagai content writer. Kemahiran dan pengetahuan sedia ada boleh diasah dan dikembangkan lagi. Bos pun best, kerja seronok dan kawan-kawan pun hebat.
Ada tak pernah kena marah dengan klien?
Saya bermula sebagai penulis upahan pada bulan Oktober 2021, setakat ini tidak pernah kena marah semuanya berpuas hati. Walaupun berlaku beberapa kali proses edit dan meminda mengikut kehendak klien. Saya anggap itu perkara biasa apabila berurusan dengan klien sebagai penulis upahan.
Oh ya, cerita ketika bermulanya saya sebagai penulis upahan ada juga menerima sindiran dari kawan-kawan yang menyindir mengenai typo yang berlaku mungkin pada artikel yang saya tulis di blog atau Fb post. Iyalah kata seorang penulis upahan tapi typo! Kan tak kena tu.
Tapi saya abaikan sahaja, semoga beliau juga menemui apa yang diinginkan jangan suka mengata dan menyindir sahaja.
Ini adalah proses untuk saya.
Belajar dari kesalahan dan pengalaman itulah kehidupan pada saya. Ketika baru mencuba pastinya sesiapa sahaja akan melakukan kesilapan tapi itu yang akan mematangkan kita.
Macam mana nak start?
Apa yang saya boleh sarankan, jika anda betul berminat dan suka untuk belajar benda baharu masuklah kursus-kursus penulisan, kemudian berusahalah dan jangan lupa cari grup sokongan di media sosial untuk mendapatkan motivasi, idea dan berkongsi pandangan.
Kita bukan bersendirian!


Leave a comment