Apa Penulis Upahan Buat?
Mesti ramai yang terfikir penulis upahan ini, kerjanya hanya menulis sahaja kan?
Jika anda berfikiran begitu, anda salah.
Sebagai penulis upahan ini banyak diskripsi tugasan yang perlu dilakukan.
Walaupun menulis adalah kunci utama bagi seorang penulis upahan, namun penulis upahan ini mampu melakukan berbagai pekerjaan lain yang boleh membawa pulangan lumayan dan tekanan.
Kali ini saya ingin kongsikan aktiviti penulis upahan lakukan dalam memastikan saya sentiasa kompentensi memenuhi kehendak pasaran atau klien-klien ketika ini.
Seperti dalam penulisan saya sebelum ini, penulis upahan adalah dalam kategori penulis kreatif atau saya gelarkan sebagai penulis “moden”. (Baca di sini : Bagaimana Menjadi Penulis ‘Moden’ Yang Boleh ‘Buat’ Duit?)
Penulis upahan boleh jadi copywriter, content writer, atau boleh juga digelarkan ghostwriter, semuanya adalah kerja utamanya menulis untuk menjana pendapatan.

Idea
Sebelum menulis sesuatu copy, artikel atau pun skrip, penulis kebiasaannya akan mencari idea berdasarkan keperluan klien.
Bagi yang berpengalaman dalam bidang ini, mungkin telah mempunyai gambaran idea yang jelas terhadap apa yang klien perlukan.
Banyak jua penulis mempunyai bank idea dan bank konten untuk memudahkan mereka menulis dengan lancar dan menjimatkan masa.
Bagaimanapun saya yakin kebanyakan penulisan yang mementingkan kualiti penulisan mereka, akan membuat carian atau rujukan untuk mendapatkan hasil yang terbaik untuk klien.
Saya juga akan melakukan carian idea-idea baharu yang mengikut trend semasa tentang produk atau servis. Mengikuti trend-trend atauu benda tular ini juga akan menjadikan penulis mempunyai banyak idea dan mudah mencangkuk pembaca.
Draf

Selepas memungut dan mengenalpasti beberapa idea yang terbaik. Idea-idea ini akan didraf untuk memudahkan saya memilih dan mengembangkannya. Atau ia juga dipanggil brainstorming.
Menurut Joe Sugarman, penulis boleh memilih 3 atau 4 perkataan bukan berkaitan dengan produk yang sedang anda fikir. Kemudian, penulis perlu bermain dengan perkataan-perkataan tersebut sehinggalah ia bersesuain dengan produk tersebut.
Idea ini akan menjadikan penulisan copy menjadi lebih kreatif dan menghasilkan ayat-ayat yang lebih menakjubkan. Apa pun ideanya, ia bertujuan untuk menarik pelanggan atau prospek mengambil keputusan, membuat tindakan dan membeli produk tersebut.
Proses mendraf ini sangat menyeronokkan, saya boleh mengeluarkan idea-idea melalui ayat-ayat yang kadangkala tidak boleh dijangka dan menarik. Namun ia tidak semudah itu, untuk mendapatkan idea dan boleh saya mendraf perkataan dalam ayat-ayat menarik perlu banyak pembacaan dan rujukan.
Kosongkan minda

Penulis akan mengalami situasi “tersekat” apabila tiba-tiba idea tidak berkunjung tiba. Perkara ini selalu saya alami. Situasi begini adalah satu ‘malapetaka’ bagi penulis atau lebih khusus bagi saya sendiri.
Jika berada dalam situasi sebegini, saya akan mula membancuh secawan kopi dan mengambil sedikit masa untuk mengosongkan bila. Jika di pejabat saya akan mengambil masa bersendirian di pantri sambil mencicip segelas kopi.
Selain itu, penulis juga suka melakukan aktiviti lain yang boleh melupakan sebentar mengenai idea penulisan mereka. Contohnya keluar bersiar, bersenam, melakukan kerja rumah atau menonton video-video lucu.
Setelah otak kembali bersedia, dan ‘fresh’ saya akan kembali mula menulis.
Namun sekiranya secara tiba-tiba muncul idea baharu ketika saya melakukan proses “pengosongan minda”, cepat-cepat saya catatkan di notepad di telefon pintar supaya boleh dirujuk semula dan tidak lupa.
Membaca

Buku adalah gedung ilmu dan idea untuk penulis. Semua penulis suka membaca dan perlu banyak membaca untuk memastikan dapat menulis dengan baik dengan idea yang bagus dan relevan.
Saya bukan hanya membaca buku tetapi blog, penulisan di media sosial, majalah ataupun portal berita. Dengan membaca penulis boleh menambah kosa kata, membina ayat dengan lebih baik, kreatif dan kritis. Seorang penulis copy tahu setiap perkataan itu adalah ‘duit’. Walaupun di media sosial contohnya Fb Ads tidak ada limit untuk menulis, berbanding pengiklanan di akhbar, televisyen, radio, dan majalah namun, penulis perlu mengambil kira situasi pembaca.
Kebanyakan pembaca di media sosial tidak berminat untuk membaca iklan panjang. Pembaca lebih tertarik dengan gambar, video atau grafik untuk mula membaca tajuk atau headline copy, dan sekiranya dapat menarik perhatian, pembacaan akan diteruskan sehingga habis. Di sini, barulah pembaca akan membuat keputusan, mengambil tindakan ataupun membeli.
Di mana pembaca boleh menjadi prospek organik atau pelanggan, apabila mereka ingin mengetahui lebih dan mula membuat carian Google. Disebabkan itu usahawan, peniaga online memerlukan website atau landingpage sendiri untuk menerangkan lebih detail mengenai produk yang mereka jual.
Penulis juga akan membuat rujukan dengan membaca website-website pesaing klien untuk mendapatkan idea yang boleh diinovasi menjadi semakin menarik. Penulis juga tidak menolak apa jua bentuk penyampaian yang boleh menjadi sumber idea untuk menghasilkan penulisan yang lebih menarik dna bermakna, termasuklah menonton video-video.
Analisis

Selepas mendapat idea dari hasil pembacaan daripada pelbagai sumber, setiap idea-idea ini akan dianalisis.
Bagaimana mahu analisis?
Saya akan menganalisis setiap perkataan sama ada ia bersesuaian digunakan dalam copy atau penulisan untuk produk klien. Selain itu, saya juga akan mengambil kira juga faktor trend, viral, jenis, target, kempen, dan sebagainya yang diperlukan klien. Namun, kebiasaannya banyak klien akan menyerahkan sepenuhnya kepada saya untuk menghasilkan copy yang menarik dan mencapai objektif mereka.
Bermula dari sini, saya perlu mengkaji dan menganalisis maklumat klien dan background produk mereka yang boleh diketengahkan atau saya gelarkan “X Factor”. X factor ini mengandungi nilai-nilai produk yang boleh menarik perhatian prospek atau klien, dan sudah pasti ia memberi nilai kepada pelanggan.
Sebagai penulis beragama Islam, saya juga perlu memikirkan perkataan-perkataan dan ayat yang ditulis memenuhi syariat. Tiada unsur riba, penipuan, provokasi melampau dan yang bersifat haram. Hal ini untuk menjaga ikhtilat rezeki saya dan klien.
Penulis juga perlu tahu menggunakan perkataan dan menyusun ayat yang tidak melanggar peraturan atau undang-undang. Disebabkan saya pun pernah bekerja sebagai wartawan, saya bernasib baik banyak akta-akta yang diketahui dan belajar ketika menjadi seorang penuntut sehingga ke sarjana muda dalam bidang Kewartawanan Multimedia.
Semua elemen ini perlu diambil kira oleh seseorang penulis yang profesional. Saya yakin setiap penulis mempunyai prinsip tersendiri.
Up-to-date

Selain menulis penulis upahan juga perlu sentiasa up-to date dengan keperluan ilmu pemasaran atau digital marketing.
Hal ini kerana, banyak permintaan diperlukan dalam bidang pemasaran digital ini.
Dekat mana pula mahu belajar ilmu digital marketing ini?
Saya bermula dengan mengikuti kelas-kelas digital marketing yang banyak ditawarkan di media sosial. Saya memilih kelas-kelas yang lebih murah sekitar RM10 selepas melihat video promo di Fb Ads yang selalu lalu di wall feed. Mengikuti kelas-kelas seperti ini dapat memulakan langkah pertama untuk menggali lebih banyak ilmu berkaitan marketing.
Jangan lupa juga untuk subscribe sifu-sifu ilmu pemasaran ini. Kebiasaannya mereka akan menghantar emel-emel terbaharu dalam dunia pemasaran. Sudah tentu tanpa mengikuti kelas mereka, anda juga boleh mencari sendiri di google, buku dan sebagainya. Itulah yang saya lakukan dan trick untuk mendapat maklumat baharu tentang dunia pemasaran digital.
Ramai juga penulis suka menghadiri kursus-kursus pemantapan penulisan dengan guru-guru yang lebih berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang penulisan. Walaupun kadangkala isinya sama namun, jika diamati setiap ceramah atau seminar penulis akan memperolehi ilmu baharu untuk dimanfaatkan dalam penulisan.

Leave a comment