Kejadian ini berlaku ketika saya menjadi pemandu e-hailing, Grab.
Seperti biasa jika saya menghantar pelanggan atau dipanggil “rider” dalam terma pemandu e-hailing di kawasan Sunway Carnival, Seberang Jaya pasti kawasan redup menjadi tempat untuk saya berehat dan menunggu rider seterusnya.
Rimbunan pokok-pokok di kawasan itu bisa meredakan panas dan menjimatkan sedikit petrol bagi saya seorang pemandu.
Enjin dimatikan.
Sambil saya scroll Facebook, tiba-tiba bunyi notifikasi daripada aplikasi Grab menerpa ke telinga.
Saya tidak berapa ingat nama rider yang menempah perjalanan ke Kampung Guar Perahu atau Frog Hill itu tetapi ejaannya seperti dari Korea.
Sesi berbalas mesej pun bermula, mereka menyatakan lokasi sebenar di Old Town kira-kira 100 meter dari lokasi saya menunggu.
Bergegaslah saya menghidupkan enjin kereta dan menuju ke arah rider dari Korea Selatan ini.
Saya sekadar berbasa basi menyapa mereka berdua.
Dalam perjalanan kira-kira 20 kilometer itu dan mengambil masa lebih 30 minit berpandukan Waze…
Saya terdengar mereka berbual di dalam Bahasa Korea, sempat juga saya menjeling mereka di tempat duduk belakang penuh dengan keterujaan dan gelak tawa.
“Excuse me”
“Yes”
“How long we can arrive to Frog Hill?”
“30 minnute”
Disebabkan mereka memulakan perbualan, saya teruslah bertanyakan beberapa soalan termasuk dari mana, berapa lama di sini, pekerjaan, selalu datang ke Malaysia dan melancong ke luar negara.
Dengan penuh ceria mereka menjawab berasal dari Korea Selatan.
Jadi benarlah telahan saya sebelum ini.
Mengikut jawapan yang diberikan, mereka berada di Malaysia-Seberang Jaya, Pulau Pinang dalam tempoh 5-6 hari sahaja. Selepas itu akan terbang semula ke Korea Selatan untuk bekerja.
Pekerjaan mereka pula, yang berbaju dress merah labuh paras lutut, berambut panjang dan bertopi itu seorang “designer” dan rakannya berbaju t-shirt lengan pendek hitam dan berskirt kembang hitam itu saya sudah tidak ingat pekerjaannya.
Maaf, my bad! hahaha
Mereka juga menyatakan pernah ke beberapa negara sebelum ini seperti German, dan Thailand.
Kata mereka lagi, ini pertama kali datang ke Malaysia-Seberang Jaya selepas membacanya di blog.
Wahhh famous betul, apa agaknya ada di sini?
Bagi saya, tiada apa yang menarik sangat jika di kawasan ini berbanding di kawasan pulau. Kawasan yang telah menjadi kawasan tarikan pelancongan dunia, banyak tempat-tempat menarik dan mampu membuat sesiapa sahaj teruja dan berlama di sana.
Malah, Pulau Pinang juga telah dikenali sebagai Health Tourism di seluruh pelusuk dunia.
Akhirnya selepas hampir setengah jam pemanduan melalui jalan yang berliku-liku dengan pelbagai panorama yang mampu membuatkan dua gadis korea ini semakin teruja, Waze pun menunjukkan lokasi yang mereka ingin tuju sudah tidak terlalu jauh, tetapi masalahnya saya pula menjadi semakin cemas.
“Ahhh sudah masuk lorong kecil ni…jalan pula tak ada tar, semak samun. Betul ke ni?”
Begitulah saya bermonolog sendirian. Hendak bertanya orang di situ tidak pula ada sesiapa.
Melihat sahaja jalan-jalan di hadapan membuatkan fikiran saya semakin bercelaru dan enuh dnegan tanda tanya.
“Macam mana sekiranya jalan teruk berlubang…Habislah kereta aku!”.
Saya cuba berdiplomasi memberi alasan tetapi, iyalah mereka datang drai jauh pastinya mahu sampai ke tempat yang hendak dituju.
Selepas berfikir dan memang prinsip e-hailing perlu menghantar “rider” sehingga ke destinasi dengan selamat seperti dalam tempahan saya redah juga.
MasyaAllah…tanah merah berkerikil kecil.
Namun sampai di satu lorong yang kiri kanannya terdapat batu besar, seorang daripada mereka sempat berpesan walaupun saya melihat reaksi mereka yang turut sama cemas supaya berhati-hati.
Rasa tenang sedikit jiwa yang kalut dan masih cemas kerana waktu itu hari pun sudah menghampiri senja.
Lebih kurang 10 minit perjalanan meredah denai-denai kerikil merah akhirnya sampainya juga di Bukit Tok Alang atau Frog Hill.
Yang mengagumkan saya adalah indah ciptaan Tuhan dengan bantuan kapur meninggi, yang lainnya semak samun. Ketika itu pula hampir senja memang cantik betul biasan cahaya matahari yang tidak lagi mampu menahan untuk terbenam bagi memberi laluan kepada kegelapan malam. Itulah fitrahnya.
Subhanallah, indah.

Bagi sesiapa peminat alami ia adalah perjalanan berbaloi untuk diredah. Keindahan alam yang tertinggal ini akan menghilangkan gelisah dan menenangkan jiwa-jiwa apabila berhadapan panorama indah ini.
Selepas membayar tunai, sempat saya bertanya bagaimana mereka mahu pulang nanti kerana hari sudah hampir gelap, malam.
Mereka menjawab tidak mengapa dan membalas semula pesanan kepada saya supaya menjaga diri dan berhati-hati.
Saya sempat melihat kepergian mereka selepas turun dari kereta, dan bertatih-tatih dengan skirt kembang berjalan menuju ke bukit kapur itu.
Berpimpin tangan dan di tangan tidak terlepas pula telefon pintar masing-masing. Ahhh saya pula yang berfikir dan terlalu bimbangkan mereka, tetapi mereka seolah…
“Yeay dah sampai,” seperti itulah rasanya yang boleh saya gambarkan perasaan mereka.
Untuk pengetahuan semua, Bukit Tok Alang atau dikenali Frog Hill terletak di Kampung Petai ini memang pernah popular satu masa dahulu di Malaysia.
Ia adalah lokasi tarikan yang agak tersembunyi daripada pandangan orang ramai, dan terletak di bahagian utara Seberang Perai.
Keluasannya di katanya kira-kira 60 hektar.
Mengikut cerita-cerita masyarakat setempat sebenarnya kawasan itu adalah ladang getah milik orang persendirian sebelum dijadikan tapak kuari pada tahun 1970-an.

Namun tapak ini terbiar berpuluh-puluh tahun, sehinggalah sekumpulan peminat sukan basikal lasak telah meneroka kawasan ini dengan mendakinya sehingga ke puncak bukit kapur di situ.
Alangkah terkejutnya mereka mendapati panorama dari atas bukit kapur itu sangat indah, cantik dan memukau pandangan dengan kolam-kolam tasik berwarna biru kehijauan.
Disarankan sesiapa yang ingin ke sini memakai pakaian yang bersesuaian dan kasut, selain memastikan membawa makanan ringan atau air minuman secukupnya kerana memang ia kawasan pinggir hutan yang tertinggal.

Leave a comment