
Penulis adalah satu karier yang sentiasa ‘ever green’, biarpun perubahan zaman dan teknologi terus berlaku. Penulis masih menjadi satu karier yang relevan untuk diimpikan.
Dahulu, jika sebut mengenai penulis mungkin ia hanya merujuk kepada ‘penulis’ yang menulis buku dan seni-seni sastera. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, penulis merujuka kepada orang yang menulis, pengarang, penyair, penyajak, dan wartawan.
Bagaimanapun, zaman kian berubah definisi penulis dan pemahaman mengenai seseorang yang bergelar penulis juga berubah. Boleh jadi penulis adalah penulis blog, penulis ikhlan, penulis kandungan web, dan sebagainya. Malah dalam dunia digital marketing atau pemasaran digital ia lebih dikenali dengan pelbagai nama ‘canggih’ lain seperti Ads Specialist, Content Creator dan sebagainya, di mana ia adalah orang berkemampuan menulis.
Malah kini, ia tidak lagi tertumpu kepada penulis yang hanya menghasilkan buku-buku novel, cerpen dan yang lebih bersifat kesusasteraan.
Profesion penulis semakin popular kerana ia telah ‘terpecah’ kepada medium-medium lain terutamanya dalam medium media sosial mahupun digital. Namun tidak dapat dinafikan isu title ‘penulis’ ini juga sering mendapat pertikaian di kalangan sesetengah penulis senior.
Bagi saya, jika menulis dijadikan sebagai satu profesion dan sumber pendapatan walaupun tidak menerbitkan mana-mana buku, novel dan sebagainya ia masih digelar penulis. Itu realitinya!
Saya lebih suka kumpulan penulis yang kategori ‘kreatif’ ini atau saya gelarkan mereka penulis ‘moden’. Walaupun penulis blog atau penulis iklan sudah pun menjadi satu sumber pendapatan bagi individu yang gemar menulis sejak dari wujudnya internet atau akhbar, namun kini ia semakin menjadi popular dengan kemunculan istilah-istilah bersesuain dengan keperluan pada masa kini. Penulis moden juga kini boleh digelar influencer mikro kerana mampu mempengaruhi khalayak hanya melalui penulisan mereka.
Menjadi penulis moden, ada bakat sahaja tidak mencukupi. Ia perlu diseimbangkan dan dimasukkan elemen-eleman yang membolehkan anda menjadi rebutan dan sesuai dengan pasaran pekerjaan pada zaman kini.
Ini adalah antara empat tips yang boleh anda pertimbangkan jika anda mahu menjadi penulis ‘moden’ secara serius.
4 Tips Cara Jadi Penulis Moden
- Bina laman web atau blog
- Mula menulis
- Pilih niche atau tema
- Kuasai ilmu digital marketing

Bina laman web atau blog
Jika anda mahu menjadi penulis moden, anda perlu fikirkan di paltform mana yang akan digunakan untuk menerbitkan penulisan anda.
Saya pasti ramai yang mahu jadi penulis bukan sekadar mempunyai minat tetapi untuk menjana pendapatan secara sepenuh masa ataupun sampingan. Keputusan membina blog atau website adalah pilihan yang tepat.
Namun anda perlu mempunyai satu tapak untuk menguruskan kandungan (content management) supaya penulisan anda boleh dibaca oleh ramai orang. Di Malaysia terdapat dua tapak yang sangat popular di kalangan blogger iaitu blogger dan WordPress.
Kebanyakkan blogger yang mahu menjadi menulis sebagai kerjaya memilih WordPress disebabkan ia lebih profesional, prestasi yang lebih optimum serta pengendalian yang agak mudah.
Saya sarankan anda memilih plan yang berbayar. Anda boleh membina domain atau dikenali alamat blog sendiri dan meningkatkan SEO. Malah anda akan mendapat lebih banyak kelebihan untuk membantu anda menjana pendapatan.

Mula menulis
Yeay!
Sekarang masanya anda menulis dengan lebih serius. Jika pada mulanya anda ketandusan idea, jangan berputus asa. Teruslah menulis mengenai hobi, percutian, atau pengalaman anda sendiri di laman blog anda.
Hal ini penting, untuk anda mula menarik trafik ke laman web atau blog bagi tujuan menjana pendapatan secara pasif melalui “Google Adsense”, Nuffnang dan sebagainya. Selain itu, trafik ini diperlukan untuk anda menyertai program affiliate seperti Involve Asia dan Accesstrade Malaysia.
Malah, dengan menulis anda akan mula dapat memperbaiki kemahiran dan membina gaya penulisan yang diperlukan pada zaman ini. Dengan cara ini penulisan anda akan semakin bertambah menarik dan memenuhi keperluan-keperluan SEO yang lain. Apa pun yang paling penting penulisan anda dapat menjadi rujukan dan menjadi penyelesaian kepada masalah pembaca.

Pilih niche atau tema
Sekarang anda lebih faham kehendak dan keperluan dalam penulisan blog. Tiba masanya anda memilih niche yang bersesuaian dan mengikut minat.
Kenapa perlu memilih tema berdasarkan keperluan dan minat?
Hal ini kerana, ia sebagai satu cara untuk menarik prospek untuk mula mengenali dan mendekati anda. Ia juga akan membolehkan anda mendapat lebih banyak pendapatan. Mungkin sebagai penulis kandungan web secara sambilan, penulis iklan di laman media sosial seperti Facebook,Instagram dan sebagainya.
Malah menulis artikel berkaitan minat, anda boleh mengelakkan dari masalah kekeringan idea dan mula merasa tertekan. Situasi ini perlu dielakkan supaya anda tidak akan berputus asa!
Pada tahap ini, pastikan penulisan anda semakin baik dan berkualiti. Pastikan setiap baris ayat dan perkataan yang digunakan adalah sesuai dan betul. Anda juga boleh masukkan fakta-fakta atau sumber rujukan. Ini penting untuk memastikan penulisan anda lebih dipercayai dan menjadi rujukan.

Kuasai ilmu digital marketing
Mahu atau tidak, ilmu digital marketing atau pemasaran digital perlu anda kuasai.
Sekarang adalah dunia digital, dan semua perniagaan perlu berubah seiring dengan perkembangan teknologi. Justeru pemasaran digital menjadi satu keperluan dalam setiap perniagaan.
Di Malaysia sejak pandemik Covid19 pada tahun 2020, peniaga mula mengambil langkah memilih perniagaan dalam talian atau digital untuk terus relevan dan survive.
Malah permintaan terhadap penulis-penulis ‘moden’ seperti content writer, copy writer dan sebagainya mula meningkat.
Namun, penulis ini perlu mempunyai kemahiran atau penguasaan dalam ilmu digital marketing. Oleh itu, jika anda mahu mendapat tempat dan menjana pendapatan kemahiran ini perlu dikuasai dengan segera.
Hadiri seminar, dan aplikasikannya dalam karier penulis moden anda. Bagaimana?
Anda boleh cuba menulis copy dan mengambil upah!
Bagaimana pun permulaannya, anda perlulah menambah ilmu dalam dunia penulisan ‘moden’ dan menguasai cara mengendalikan tapak sistem pengurusan kandungan dengan lebih berkesan supaya dapat memudahkan anda sebagai penulis ‘moden’.
Teruslah kekal relevan!
Leave a comment