Tips Sambung ‘Study’ Untuk Wanita Banyak ‘Title’

3–5 minutes

Sebagai seorang wanita yang juga seorang isteri dan ibu, pasti ramai yang masih memasang angan-angan untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.

Jika sebelum berkahwin mereka telah berjaya menggenggam segulung diploma, atau ijazah, namun pasti mempunyai cita-cita untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti ijazah, ‘master’ dan PHD.

Saya tidak pasti apa sebabnya atau mendorong wanita banyak ‘title’ di luar sana yang masih mengimpikan pengajian peringkat lebih tinggi. Bagi saya ia adalah satu kepuasan, sesuatu kekosongan dalam diri yang perlu di isi, jadi saya memilih dengan menyambung pengajian.

Bukanlah untuk mengejar pekerjaan yang bergaji besar, dan peluang kerjaya semata-mata.

Namun, untuk mengejar impian nan satu ini bukanlah perkara mudah, sehingga membuatkan ramai wanita begelar ibu, dan isteri ‘surrender’ serta menguburkan minat mereka kerana mempunyai banyak ‘title’.

Bagaimanapun, jika anda wanita banyak title namun berada dalam bidang pendidikan seperti pensyarah, saya rasa ini menjadi batu loncatan untuk anda menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan agak mudah. Saya pasti anda perlu memenuhi KPI menghasilkan kajian-kajian baharu sehinggalah membuatkan peluang untuk ke peringkat lebih tinggi.

Namun, kali ini jika anda seorang super woman dan mahu menjadi lebih super dengan menyambung pengajian boleh baca tips ini. Mungkin sedikit banyak membantu anda untuk tidak mudah mengalah!

Tips

  • Pilih pusat pengajian yang betul
  • Pilih jurusan yang betul
  • Pilih program pengajian yang betul
  • Bersedia mental, fizikal, dan wang
  • Ajak kawan

Pilih pusat pengajian yang betul

Pemilihan pusat pengajian yang sesuai akan menentukan kelancaran proses anda menyambung pengajian dan menjadi penentu anda berjaya habiskannya.

Mengapa saya berkata begini?

Hal ini kerana anda juga perlu memikirkan mengenai yuran pengajian, jarak pusat pengajian dan sijil pendidikan yang diiktiraf.

Saya tahu ramai yang suka memilih pusat pengajian swasta kerana mungkin disebabkan cara pengajian lebih fleksibel dan banyak kos-kos menarik.

Namun bagi anda yang tidak mempunyai banyak simpanan, saya cadangkan pilih universiti awam kerana yuran lebih “boleh di bawa bincang” atau murah.

Anda perlu juga memikirkan jarak pusat pengajian, jangan memilih terlalu jauh dari penempatan anda. Namun jika anda willing to travel ia tidak akan menjadi masalah besar. Ini kerana anda perlu juga pergi ke kampus untuk berjumpa supervisor atau pensyarah seminggu sekali atau beberapa kali dalam sebulan bergantung kepada pilihan pengajian anda.

Paling penting pastikan pusat pengajian swasta yang anda pilih diiktiraf kerajaan, jika tidak ia hanya satu pembaziran dan sia-sia.

Saya sendiri memilih UUM untuk menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Kewartawanan Multimedia.

Pilih jurusan yang betul

Jurusan yang dipilih juga akan menentukan kejayaan anda untuk menamatkan pengajian ini dengan jayanya. Maklumlah, wanita yang mempunyai banyak title ini kebanyakan sibuk dan ramai juga boleh dikatakan tewas di tengah jalan.

Jika ia penting untuk memajukan karier anda, buatlah pilihan yang tepat namun jika anda tidak mempunyai matlamat yang sebenar anda mungkin boleh mula berfikir untuk menjadikan pengajian anda ini lebih berbaloi.

Pilih program pengajian yang betul

Saya sarankan anda jangan tersalah membuat pilihan program pengajian. Anda perlu memikirkan jadual harian antara kerja, anak-anak dan suami. Banyak universiti menawarkan cara pengajian yang fleksibel sesuai untuk wanita banyak title.

Antaranya full research, coursework&research, atau coursework.

Jika anda seorang yang sangat suka menyendiri dan membaca, full research mungkin pilihan paling hebat untuk anda berjaya.

Bagi saya, gabungan coursework&research adalah paling terbaik. Kelas diadakan pada hujung minggu, dua atau satu kelas sehari. Masih ada assingment yang perlu disiapkan.

Malah program lain seperti pengajian jarak jauh, part time atau full time perlu dipilih dengan baik selepas memikirkan komitmen anda yang lain. Setiap jenis program ini mempunyai caj yuran yang berbeza. Anda boleh semak dan baca di portal-portal pusat pengajian yang menjadi pilihan.

Di akhir semester pengajian, anda perlu menyiapkan dissertation setebal 100 muka surat sekurang-kurangnya. Mencabar. Ketika ini saya seorang ibu mengandung, wanita yang hilang pekerjaan dan terpaksa menjadi driver “grab” dan ibu kepada seorang anak, dan juga isteri.

Tapi I’m nail it sebab ada suami yang sangat memberi sokongan.

Bersedia mental, fizikal dan wang

Sebagai seorang wanita yang menyandang banyak title pasti perlu kekuatan untuk tumpukan pada pengajian. Mental dan fizikal perlu seiring. Harus kuat!

Seringlah berbincang dengan rakan-rakan sekelas dan penyelia. Perkara ini sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat anda yang mungkin akan terpadam pada bila-bila masa sahaja.

Wang juga memainkan peranan, kebiasaannya sesiapa yang menyambung pengajian semula ini perlu mengeluarkan wang sendiri termasuk yuran dan kos-kos lain.

Anda juga boleh cuba meminta bantuan zakat pengajian dari Lembaga Zakat Negeri, Adun, Ahli Parlimen dan sebagainya.

Ajak kawan, lagi ramai lagi bagus

Sudah pasti menyambung pengajian ini perjuangan individu tetapi kalau mahu sentiasa bersemangat, ajaklah kawan-kawan.

Kawan-kawan mungkin boleh menjadi penyumbang kejayaan anda menamatkan pengajian dalam tempoh paling minima. Malah dapat merasai semula dunia kampus yang telah lama ditinggalkan.

Bagi saya lebih ramai kawan lebih seronok dan bersemangat. Jika ada kelas boleh berjumpa dan bersembang hal-hal berkaitan kuliah dan juga isu-isu semasa plus bergosip lah!

Bagaimanapun ini hanya beberapa senarai yang saya fikir kaum wanita yang mempunyai banyak tanggungjawab boleh bersedia jika membuat keputusan untuk menyambung pengajian.

Mungkin, lain orang lain pula cabarannya. Berkongsilah dengan pembaca lain dengan meninggalkan komen di sini.

Leave a comment