Cerita Syiling 5 Sen, Lilin Kecil dan Busut Anai

3–4 minutes

Cerita ini terjadi masa usia Cik Milah umur dalam lingkungan lima atau enam tahun sekitar tahun 1992, ketika mula masuk tadika. Setiap pagi, emak Cik Milah akan hantar ke tadika guna basikal mini yang raganya di depan. Jarak rumah Cik Milah dengan tadika lebih kurang 2 kilometer juga.

Dekat tadika Cik Milah ada sepohon pokok yng sangat besar, mungkin sebab ketika itu Cik Milah masih kecil jadi Cik Milah rasa pokok itu amat besar. Pokok itu sangat unik, ada lubang dan banyak akar-akar pokok yang menjalar, menyukur dan berjuntai dari dahan ke dahan. Pada pohon itu juga, kami murid tadika di sini sering bermain kejar-kejar atau sembunyi-sembunyi. Kadangkala akar-akar yang berjuntai pada pohon itu, kami buat tali untuk bergayut ala-ala tarzan sehingga cikgu tadika turut menjadi tarzan. Begitulah gembiranya kami murid tadika yang menggunakan apa sahaja untuk bermain kerana ketika tiada taman permainan pun di situ.

Sumber Majalah Remaja

Sebelum Cik Milah terlupa, banguna tadika itu juga adalah bangunan surau lama yang dijadikan tadika untuk anak-anak kampung berusia lima hingga enam tahun untuk mula belajar mengenal ABC dan nombor. Kawasan tadika itu berhampiran dengan sungai, jika hujan lebat pasti air akan naik melimpah ke tebing. Kadang-kadang jika mendapat peluang, kami akan curi keluar untuk melihat air tersebut. Huru-hara juga cikgu tadika di situ yang lebih mesra dipanggil Kak Nah. Bimbanglah jika kami tergelincir atau hanyut di bawa arus dalam dan deras.

Betul atau tidak, Cik Milah pun tidak pasti. Cikgu tadika sering menakutkan kami dengan memomokkan cerita-cerita seram seperti hantu air dan ada orang pernah hanyut di bawa arus deras sungai di situ, jadi kami tidak dibenarkan untuk ke sana. Terkesan jugalah kami dengan cerita sebegitu, langsung tiada seorang pun berani untuk ke sana lagi. Bayang di kawasan tebing sungai itu pula terdapat banyak pohon-pohon buluh yang hidup subur dan merendang daunnya. Suasana di situ yang berbalam-balam dan sunyi memang agak menakutkan.

Kebiasaannya, kelas tadika ini tamat pada jam 12 tengahari. Ibu bapa akan datang menjemput ataupun kami akan berjalan kaki ramai-ramai untuk pulang ke rumah sebelum berpecah ke laluan masing-masing.

Bertapa bahagianya ketika pulang, kami saling berpegang tangan dan bernyanyi untuk menghiburkan hati. Kebiasaannya lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang dipelajari di tadika seperti gelang si paku gelang dan sebagainya. Kadang-kadang kami akan singgah di kedai runcit untuk membeli ais krim, keropok atau pun gula-gula sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari ketika kami sedang bernyanyi ada seorang kawan Cik Milah, tapi Cik Milah terlupa siapa namanya ternampak sebuah busut anai-anai yang di atasnya terdapat lilin-lilin kecil berwarna putih. Di kelilingnya pula terdapat beberapa keping duit syiling lima sen. Apa lagi, habis duit syiling kami kutip. Iyalah, bagi kami duit syiling itu boleh kami belanja membeli ais krim di kedai runcit sebelum pulang ke rumah.

Keesokan harinya, kami mula teruja untuk ke lokasi tersebut untuk mengutip syiling-syiling itu lagi. Riuh-rendah juga di kawasan busut yang terletak di bawah rimbunan pohon belukar di tepi jalan itu sehingga mengundang perhatian penduduk kampung di situ.

Ada yang berhentikan kenderaan mereka untuk melihat apa yang kami sedang lakukan. Akhirnya, baru lah kami tahu barangan lilin kecil, syiling lima sen dan busut anai itu adalah digunakan untuk pemujaan nombor ekor. Mengikut seorang pak cik di situ, kawasan itu kebiasaannya berhantu.

Habis syiling yang kami kutip dilempar dan dibuang semula, dan semua memecut lari meninggalkan kawasan tersebut. Sehinggalah hari keesokannya kecoh di kawasan sekitar lokasi pemujaan itu yang juga dekat dengan tadika kami belajar. Murid-murid tadika di situ mula takut untuk ke tadika bersendirian, begitu juga ketika mahu pulang rumah.

Cikgu tadika pula terpaksa menemani kami melintasi kawasan tersebut, tapi setiap kali melalui kawasan itu semuanya bertempiaran lari walaupun cikgu sudah pesan banyak membaca baca surah Al-Fatihah dan berselawat. Tapi apakan daya, kami ketika itu hanyalah kanak-kanak lima atau enam tahun yang naif. Akibat ramai murid-murid tadika yang takut melalui kawasan tersebut satu gotong royong dilakukan untuk membersihkan tempat itu. Malah banyak kata-kata semangat telah disampaikan cikgu untuk memulihkan kembali semangat kami. Akhirnya, lama-kelamaan perasaan tersebut lenyap begitu sahaja.

-Tamat-

Leave a comment