
Pasti ramai yang mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri, namun masih ragu-ragu dengan kemampuan kewangan sendiri. Dalam kita masih ragu-ragu untuk memiliki sebuah rumah impian sama ada rumah baharu atau sub-sale, harga hartanah semakin mencanak naik dari tahun ke tahun.
Adakah harga rumah akan turun sekiranya kuasa membeli semakin kurang? Bagi Cik Milah saban tahun, rumah-rumah yang dijual semakin mahal walaupun taraf ekonomi atau pendapatan rakyat tidak meningkat. Malah menurut pakar-pakar hartanah, harga hartanah tidak akan menurun malah akan menjadi semakin mahal dari masa ke semasa.
Bagaimana langkah pertama anda perlu buat untuk memiliki sebuah rumah yang mampu milik? Entri kali ini Cik Milah nak kongsi bagaimana cara untuk membeli rumah sub-sale.

Pertamanya, anda perlu mempunyai impian dan azam untuk memiliki sebuah rumah dalam masa terdekat. Niat ini penting untuk memastikan anda bersungguh-sungguh mendapatkan rumah tersebut. Bolehlah mula mencari kawasan perumahan atau projek perumahan yang akan dibangunkan untuk mendapatkan harga lebih murah berbanding projek yang telah siap.
Bagi Cik Milah, pada mulanya Cik Milah sewa sahaja tapi semakin hari semakin sayang, teruslah Cik Milah masuk meminang pada tuan rumah. Pada mulanya tuan rumah enggan juga, tapi akhirnya tuan rumah pula yang bertanya. Alhamdulillah!
Keduanya, anda perlu pastikan mempunyai pekerjaan tetap tiga hingga empat tahun ke atas untuk memastikan bank-bank percaya dan yakin untuk meluluskan permohonan pinjaman anda. Ini juga penting untuk bank-bank melihat aliran kewangan anda.
Yang ini memang betul, sebelum ini Cik Milah pernah juga hendak membeli rumah, ketika itu baru dua tahun Cik Milah kerja tetap tapi tidak pernah berjaya.
Ketiga, anda perlu pastikan rekod bersih. Rekod bersih ini bermaksud sekiranya anda mempunyai hutang dengan institusi perbankan, anda perlu membuat pembayaran mengikut jadual ditetapkan. Begitu juga jika anda membuat pinjaman kredit dengan mana-mana syarikat anda perlu pastikan tidak mempunyai CTOS atau CCRIS.
Ketiga, ini penting sangat, kalau kita nak buat pinjaman di mana-mana bank pun institusi perbankan ini akan tengok latar belakang rekod kewangan dan pembayaran hutang, jadi lebih baik selesaikan semua ini dulu.
Keempat, ini tips untuk mendapatkan rumah tanpa ejen adalah dengan mencari sendiri di kawasan-kawasan perumahan jika ternampak signboard, poster di pagar rumah untuk dijual amda boleh bertanya jiran kediamanan yang terbabit. Jika bernasib baik anda akan mendapat nombor telefon tuan rumah berkenaan.
Tips lain, anda boleh tanya kawan-kawan, saudara-mara dan mencari di media sosial seperti Facebook. Paling best kalau tuan rumah anda menyewa mahu menjualnya.
Kelima, anda boleh pergi ke bank-bank untuk tujuan permohonan pinjaman dan penilaian rumah. Di sini lah selangkah kaki anda untuk berjaya atau boleh cuba lagi pada masa akan datang.
Cik Milah menggunakan Bank Islam, soalan pertama jurubank akan tanya berapakah harga rumah yang owner mahu jual? Kemudian mereka akan hubungi jurunilai untuk menilai harga semasa rumah tersebut.
Barulah proses permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah tersebut berlangsung. Anda sediakan sahaja apa yang jurubank perlukan seperti penyata bank dan sebagainya. Syukur jika tuan rumah tidak minta wang pendahuluan.

Keenam, sekiranya permohonan pinjaman anda lulus anda perlu mencari peguam untuk proses pindah hak milik. Kebiasaannya jurubank mempunyai peguam untuk anda gunakan dalam proses tersebut sekiranya anda tidak mempunyai peguam lain. Jangan risau! Anda jangan lupa tawar menawar untuk kos peguam, cubalah dulu.
Seterusnya, selepas bank telah meluluskan pinjaman tersebut, bank akan keluarkan Surat Perjanjian Jual Beli (SPA), anda perlu bayar 10% daripada jumlah pinjaman. Anda boleh gunakan wang KWSP akaun ke-dua. Anda juga perlu bayar duti setem tapi untuk pembelian Rumah Pertama anda tidak perlu membuat apa-apa bayaran. Lega! Apa yang anda perlu bayar sekiranya ia tidak termasuk dalam jumlah pinjaman diluluskan adalah yuran guaman dan yuran pemindahan hak milik, kebiasaannya harga dalam ratusan ringgit.
Kebiasaannya proses pindah hak milik ini bergantung kepada peguam yang anda upah juga, rajin-rajinlah bertanya.
Leave a comment